Kereta api pertama daripada lapan kereta api yang bakal beroperasi di Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru sudah tiba di Singapura dan akan menjalani ujian di sini sehingga suku keempat 2025.
Kereta api empat gerabak yang boleh membawa sehingga 1,087 penumpang itu akan menjalani ujian penyepaduan sistem di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC) di Tuas selama beberapa bulan, sebelum ia dipindahkan ke landasan RTS Link untuk ujian seterusnya dan pentauliahan.
Ia tiba di pelabuhan Jurong Port dari China pada 3 April sementara lagi tujuh kereta api dihantar ke tempat pembuatan di Batu Gajah, Perak.
Buat masa ini, empat kereta api sedang dipasang di sana, dan lagi tiga kereta api akan dihantar ke tempat yang sama pada masa depan.
Selepas lengkap dipasang, kereta api itu akan dipindahkan ke Depoh Wadi Hana di Johor Bahru untuk menjalani ujian lanjut dan persiapan akhir sebelum digunakan untuk perkhidmatan penumpang.
Semua lapan kereta api itu dibina oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Locomotive Co Ltd.
Kereta api pertama itu dilancarkan oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Jeffrey Siow, dan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke, dan turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam satu majlis khas di SRTC pada 30 Jun.
Berucap di majlis tersebut, Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Khairil Anwar Ahmad, berkata kereta api tersebut adalah bukti kepada visi, tekad dan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Singapura.
“RTS Link bukan sekadar satu sistem pengangkutan dan bukan juga sekadar satu pencapaian kejuruteraan.
“Ia sebenarnya merupakan simbol yang kuat bagi perkongsian kita yang akan mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura,” ujarnya.
Secara keseluruhan, kerja-kerja pemasangan sistem RTS Link kini telah siap 56 peratus, menurut RTSO pada 30 Jun.
Sementara itu, kereta api pertama itu akan menjalani ujian penyepaduan sistem selama beberapa bulan di SRTC – yang dibuka sejak 28 Mac – sebelum dipindahkan ke landasan RTS Link untuk menjalani ujian lanjut yang dijangka selesai pada suku keempat 2025.
Ini adalah kali pertama kereta api diuji di luar landasan sebenar terlebih dahulu di SRTC.
Keseluruhan ujian tersebut dikendalikan oleh RTSO – syarikat usaha bersama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dengan SMRT RTS Pte Ltd yang mengendalikan perkhidmatan RTS Link.
Pemeriksaan ke atas penyepaduan antara kereta api dengan sistem rel seperti sistem isyarat, pintu skrin di platform dan sistem komunikasi dalam kereta api akan dijalankan bagi memastikan sistem yang lancar.
Ia kemudian akan dipindahkan ke landasan RTS Link untuk ujian dan pentauliahan, bersama tujuh kereta api yang lain.
RTS Link ialah sistem kereta api rentas sempadan antara Singapura dengan Johor Bahru yang dijadual siap pada Disember 2026.
Ia mempunyai kapasiti optimum 607 penumpang, dan maksimum 1,087 penumpang.
Setiap gerabak kereta api mempunyai 32 tempat duduk, termasuk empat yang boleh dilipat bagi memberi ruang kepada kerusi roda, kereta sorong bayi atau bagasi.
Secara keseluruhan, dalam satu jam, hingga 10,000 penumpang mampu beralih dari Singapura ke Malaysia.
Kereta api yang berukuran 76.5 meter itu boleh mencapai kelajuan hingga 80 kilometer sejam, dengan tempoh perjalanan hanya lima minit antara Singapura dengan Johor Bahru.
Selang waktu antara kereta api juga pendek, hanya 3.6 minit dan berbentuk lebih kecil berbanding kereta api SMRT yang biasa.
Ia turut dilengkapi dengan ciri mesra akses lain, termasuk menggunakan runut magnet untuk menghantar pengumuman awam terus ke alat bantuan pendengaran penumpang yang menggunakannya.
Ini merupakan kali pertama sistem seperti ini diperkenalkan di dalam kereta api di Singapura dan Malaysia, bagi membolehkan siaran pengumuman didengar dengan jelas oleh mereka yang mengalami masalah pendengaran tanpa gangguan bunyi latar belakang.
Ini agar dapat meningkatkan keselamatan sistem serta keterangkuman penumpang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg