Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja pemasangan landasan rel RTS Link lebih 65% siap

Ini bermakna sistem rel RTS Link JB-S’pura sudah separuh siap, ikut jadual bagi pembukaan operasi penumpang pada Dis 2026
Feb 26, 2025 | 7:02 PM
Kerja-kerja pemasangan landasan rel bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) sudah lebih 65 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2025.
Kerja-kerja pemasangan landasan rel bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) sudah lebih 65 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2025. - Foto ST

Kerja-kerja pemasangan landasan rel bagi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen Woodlands North di Singapura sudah lebih 65 peratus siap.

Kerja-kerja pemasangan landasan rel itu dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2025, dengan struktur sistem seperti sistem isyarat akan dipasang mulai Mac 2025, kata Pengarah Projek RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Encik Zahrin Abdul Gani.

Beliau memberi perkembangan terkini mengenai projek itu dalam sesi taklimat media yang diadakan RTSO buat julung-julung kali di pejabat korporat barunya di bangunan Menara JLand pada 26 Februari.

RTSO, hasil usaha sama antara SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia, dilantik pada 2020 untuk mengendalikan RTS Link selama 30 tahun. Ia akan memiliki, merancang, membina dan membiayai aset operasi untuk RTS Link.

Beliau menambah kerja-kerja pemasangan landasan rel, yang bermula di Depoh Wadi Hana di Johor, sudah melewati Stesen Bukit Chagar dan mengikut jadual untuk selesai dipasang hingga Stesen Woodlands North menjelang Julai. Jarak antara depoh itu dengan Stesen Woodlands North adalah sekitar 5.3 kilometer.

“Kerja-kerja pemasangan landasan rel akan diteruskan sehingga sekitar pertengahan 2025, dan kerja-kerja pemasangan subsistem akan menyusul selepas itu.

“Banyak ujian intensif akan dilaksanakan… sehingga suku ketiga 2026 dan kemudian akan ada ujian operasi,” katanya.

Terdapat 10 subsistem – merangkumi antara lain sistem isyarat, pembekalan tenaga dan sistem pengurusan penyelenggaraan – yang perlu disepadukan agar semua sistem ini berfungsi secara lancar dan operasi rel dapat dilakukan secara selamat. Ini akan dilakukan secara berperingkat, ujar Encik Zahrin.

Perkembangan pemasangan landasan rel ini bermakna projek RTS Link kini telah mencapai kemajuan sekitar 50 peratus secara keseluruhan dan mengikut jadual untuk memenuhi tarikh akhir bagi perkhidmatan penumpang, iaitu pada hujung Disember 2026, kata ketua pegawai eksekutif RTSO, Dr Ahmad Marzuki Ariffin.

Menjawab pertanyaan media mengenai struktur tambang RTS Link, Dr Ahmad menjelaskan ia masih awal untuk memberi perincian lanjut tetapi beliau menjangkakan ia akan dikongsi bersama oleh pemerintah Malaysia dan Singapura pada masa lebih dekat dengan tarikh permulaan operasi.

“Banyak proses sebenarnya diperlukan (dalam penentuan tambang), lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan dua negara. Buat masa ini, kami tidak ada maklumat untuk dikongsikan,” katanya.

Dalam pada itu, pihak media turut dibawa meninjau Depoh Wadi Hana, yang menurut pengarah projek, Encik Zulkifli Mohamed, adalah seluas 14 ekar atau 10 padang bola sepak.

Memberi perincian lanjut, beliau berkata setiap segmen landasan rel adalah secara purata berukuran 250 meter dan dicantumkan melalui proses kimpalan alumino-termik – iaitu proses tindak balas antara aluminium dengan oksida logam pada suhu tinggi, sebelum dikisar agar tidak bergerigi.

Menurut RTSO, 690 kimpalan diperlukan bagi keseluruhan projek RTS Link.

Pembinaan prasarana sivil bagi bahagian Singapura, yang dikendalikan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), telah siap lebih daripada 80 peratus.

Pembinaan prasarana di kawasan Malaysia, yang dikendalikan oleh MRT Corp, pula telah siap 93 peratus setakat November 2024.

Berdasarkan rekod perniagaan, RTSO mempunyai modal berbayar sekitar $410.7 juta, dengan Prasarana memegang 52 peratus saham dan SMRT memegang 48 peratus saham.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg