Syarikat penerbangan Singapore Airlines telah menambah lapan penerbangan bantuan antara Singapura dengan Jakarta pada 8 September bagi pelanggan yang terjejas oleh letusan Gunung Anak Krakatau di Indonesia.

Dalam kemas kini yang disiarkan di halaman Facebooknya pada 9:17 pagi, 8 September, SIA menyatakan penerbangan bantuan tersebut disediakan untuk memindahkan pelanggan yang terjejas oleh gangguan itu, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.

Ia menambah: “SIA secara berperingkat akan menempatkan semula pelanggan yang terjejas pada penerbangan seterusnya yang tersedia sebaik sahaja penerbangan antara Singapura dengan Jakarta beroperasi semula.”

Lebih banyak penerbangan SIA juga dijadualkan semula atau dibatalkan pada 8 September, menurut notis SIA, yang disiarkan sejurus selepas tengah malam.

SIA menyatakan penerbangan SQ951 yang berlepas dari Jakarta pada 8 September pada 5.25 pagi waktu tempatan telah dibatalkan.

Enam penerbangan berikut telah dijadualkan semula (semua waktu tempatan):

Singapura ke Jakarta
SQ950 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 0620, kini berlepas pada 1310
SQ952 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 0740, kini berlepas pada 1340
SQ956 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 0905, kini berlepas pada 1930

Jakarta ke Singapura:
SQ953 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 0805, kini berlepas pada 1450
SQ955 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 0925, kini berlepas pada 1535
SQ957 yang asalnya dijadualkan berlepas pada 1100, kini berlepas pada 2125

SIA berkata memandangkan keadaan terus berubah-ubah, pelanggan dinasihatkan agar melayari halaman ‘Flight Status’ syarikat itu untuk mendapatkan maklumat terkini.

Mereka yang memerlukan bantuan tempahan semula atau mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian +65 6351-0013 atau melalui laman sembang dalam taliannya.

Untuk tempahan yang dibuat melalui ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi, pelanggan dinasihatkan supaya menghubungi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan bantuan.

SIA juga menggesa pelanggan supaya mengemas kini butiran mereka melalui fungsi ‘Manage Booking’ di laman webnya atau melanggan perkhidmatan pemberitahuan mudah alih untuk menerima kemas kini mengenai status penerbangan mereka.

Sebelum ini lapan lapangan terbang, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, menghentikan operasi pada hujung minggu lalu selepas abu letusan dikesan di ruang udara mereka, sekali gus menjejas hampir 3,000 penerbangan dan menyebabkan lebih 340,000 penumpang terkandas.

Bagaimanapun, pada awal 8 September, Kementerian Pengangkutan Indonesia menyatakan lapangan terbang Jakarta itu dan empat lapangan terbang lain berhampiran bandar itu atau di sekitar pulau Jawa telah beroperasi semula.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti