Pengangkutan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tambang minimum naik 50 sen bagi pemandu Grab

Nov 17, 2025 | 6:45 PM
grab, tambang, 50 sen, naik
Kenaikan sebanyak $0.50 itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Grab dan tidak akan mengubah tambang penumpang. - Foto ST

Bermula 24 November, Grab Singapura akan menaikkan tambang minimum buat pemandunya sebanyak 50 sen, sebagai langkah untuk meningkatkan pendapatan mereka bagi perjalanan jarak pendek kurang daripada 3 kilometer (km).

Kenaikan itu akan dibiayai sepenuhnya oleh Grab dan tidak akan mengubah tambang penumpang, kata syarikat perkhidmatan e-panggilan (kenderaan sewa persendirian) itu dalam satu kenyataan bersama dengan Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) pada 17 November.

Kenaikan tambang tersebut akan dikenakan ke atas kebanyakan perkhidmatan tambang tetap yang dipesan atas permintaan, kecuali GrabHitch, khidmat kenderaan sembilan tempat duduk, 13 tempat duduk dan khidmat sewaan mengikut jam, lapor The Straits Times (ST).

Ini bermakna bagi perkhidmatan JustGrab, pemandu akan melihat tambang minimum sebanyak $5.80 setiap perjalanan, meningkat daripada $5.30, menurut kenyataan itu.

Penyesuaian itu bertujuan membantu pemandu yang menghadapi pendapatan lebih rendah bagi perjalanan pendek, dengan kos seperti sewa kenderaan dan petrol atau elektrik membentuk sebahagian besar tambang.

Langkah tersebut diambil selepas perbincangan antara Grab dengan NPHVA, yang bersekutu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

“Kenaikan tambang minimum $0.50 ini membawa kepada kenaikan sehingga 9 peratus dalam tambang minimum,” kata setiausaha eksekutif NPHVA, Cik Raven Lee.

Ketua Pengangkutan dan Operasi Negara Grab Singapura, Encik Alvin Wee, berkata kenaikan itu menunjukkan komitmen syarikat tersebut terhadap kebajikan pemandunya.

“Kami memberi tumpuan untuk mencipta penyelesaian bersama dalam menangani isu penting sambil memastikan kesihatan keseluruhan industri e-panggilan,” tambahnya.

Dalam satu kenyataan bersama yang berasingan pada 17 November, Grab dan NTUC mengumumkan bahawa Grab kini akan secara rasmi mengiktiraf Persatuan Teksi Nasional (NTA) untuk mewakili pemandu teksi di platformnya di bawah Akta Pekerja Platform.

Pengumuman itu dibuat bersama dengan majlis menandatangani perjanjian pada 17 November antara Grab dengan NTA, yang merupakan sebahagian daripada NTUC.

Menurut kenyataan tersebut, perkongsian antara Grab dengan NTA adalah perkembangan terbaru antara Grab dengan tiga persatuan NTUC – NTA, NPHVA dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA).

Grab adalah pengendali platform pertama yang secara rasmi mengiktiraf ketiga-tiga persatuan pekerja platform itu.

Pada Mac, Grab telah secara rasmi mengiktiraf NPHVA dan NDCA untuk mewakili pemandu sewa peribadi dan pekerja penghantaran.

Setiausaha agung kanan NTUC, Cik Yeo Wan Ling, berkata penandatanganan itu menandakan satu pencapaian penting bagi pekerja platform.

“Ini mengukuhkan suara kolektif kami dan membolehkan kami bekerjasama rapat dengan Grab untuk menangani cabaran utama yang dihadapi pekerja platform kami, termasuk pendapatan, keselamatan dan keadaan kerja,” tambah Cik Yeo, yang juga penasihat kepada NDCA, NPHVA dan NTA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg