Topik diikuti
Pergi ke BHkuPemerintah sasar perkenal rang kenderaan berautonomi pada 2027
Akta AV akan sokong pelaksanaan secara berperingkat bagi tambah pilihan mobiliti, lengkapi pengangkutan awam
Pemerintah sasar perkenal rang kenderaan berautonomi pada 2027
Pemerintah menyasarkan untuk memperkenalkan perundangan baharu bagi mengawal selia penggunaan kenderaan berautonomi (AV) di jalan raya pada 2027, kata Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Baey Yam Keng.
Ketika berucap dalam perbahasan mengenai pindaan kepada Akta Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan yang diluluskan di Parlimen pada 7 Oktober, beliau berkata Akta AV terkini akan mengawal selia AV di jalan raya secara lebih menyeluruh.
Buat masa ini, kawal selia kenderaan tersebut adalah melalui ruang ujian terkawal atau sandbox di bawah Akta Lalu Lintas Jalan Raya, dengan tempoh sandbox dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.
Encik Baey berkata Akta AV akan menyokong pelaksanaan kenderaan berautonomi secara berperingkat di jalan raya.
“AV dapat menambah pilihan mobiliti yang wujud bagi warga Singapura dan saling melengkapi pilihan pengangkutan awam di sini.
“Ia dapat memenuhi jurang keperluan di lokasi-lokasi di mana pemandu tidak ingin pergi, selain menyediakan khidmat lewat malam apabila pengangkutan awam tidak beroperasi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai menggulung perbahasan selama lebih kurang empat jam yang menyaksikan 25 Anggota Parlimen (AP) membentangkan usulan dan kebimbangan mengenai pindaan kepada Akta Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan.
Antara usul yang diketengahkan adalah rangka kerja lebih jelas terkait dengan penggunaan AV bagi tujuan liabiliti, insurans dan kebertanggungjawaban, seperti yang dibentangkan oleh Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West).
Ini selain melakar syarat operasi AV yang lebih jelas, seperti yang diusul oleh Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast).
Perundangan baru ini akan turut mengambil kira maklum balas daripada orang ramai, setelah Kementerian Pengangkutan (MOT) mengadakan sesi rundingan sejak Mei untuk mendapatkan maklum balas mengenai rangka kerja perundangan dan kawal selia AV di sini.
Menurut kenyataan MOT pada 4 Mei, rangka kerja lalu lintas jalan raya yang sedia ada di sini direka dengan mengambil kira kenderaan yang dipandu manusia, berbanding AV yang dipacu teknologi dan algoritma.
Kementerian itu menambah, perundangan AV yang baru itu bakal memperjelas peraturan keselamatan dan rangka kerja bagi liabiliti, insurans, dan penguatkuasaan dalam pengendalian AV.
Ini memberi kepastian yang diperlukan oleh perniagaan untuk mengendalikan AV di sisi undang-undang, di samping memberi jaminan kepada pengguna pengangkutan, kata MOT.