Pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura akan ditunda ke Februari 2027, menurut pengendali perkhidmatan itu, RTS Operations (RTSO) dalam satu kenyataan pada 2 Oktober.

RTSO memaklumkan bahawa semua ujian sistem dan ujian percubaan dijangka selesai menjelang 31 Disember, sebelum proses penilaian keselamatan pihak ketiga dan kelulusan pihak berkuasa dijalankan.

“Mengambil kira jangkaan tempoh kerja serta anggaran masa untuk mendapatkan pensijilan keselamatan daripada pihak ketiga dan kelulusan daripada kededua Pemberi Hak RTSO, perkhidmatan penumpang kini dijangka bermula pada Februari 2027.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan yang selamat dan boleh dipercayai bagi RTS Link,” kata RTSO.

Sebelum ini, laluan tersebut disasarkan untuk dibuka pada penghujung Disember 2026.

Pemberi Hak RTSO – iaitu pihak berkuasa yang memberikan hak operasi – ialah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Kementerian Pengangkutan (MOT) Malaysia.

Dalam kenyataan media bersama, LTA dan MOT Malaysia menyatakan bahawa mereka telah dimaklumkan oleh RTSO tentang penundaan pembukaan projek itu.

Namun, ia menambah, jadual waktu yang disemak semula itu tertakluk kepada RTSO memperoleh pensijilan keselamatan bebas bagi RTS Link serta mendapatkan kelulusan kawal selia yang muktamad.

Dalam pada itu, ia turut mengesahkan bahawa kerja-kerja pembinaan infrastruktur di kededua negara kini sudah hampir siap.

“Kerja-kerja pembinaan infrastruktur di Singapura dan Malaysia telah hampir siap sepenuhnya dan kekal mengikut jadual untuk menyokong perkhidmatan penumpang sebaik sahaja baki proses pengujian dan pentauliahan selesai dan memenuhi piawaian.

“Pihak penaja akan terus bekerjasama dengan RTSO bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar dan selamat,” menurut kenyataan bersama agensi Singapura dan Malaysia itu.

Projek kededua negara ini bakal menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Stesen MRT Woodlands North di Singapura, dengan tempoh perjalanan merentasi Selat Johor mengambil masa sekitar lima minit sahaja.

Apabila mula beroperasi kelak, sistem transit ini berkeupayaan menampung sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah, sekali gus mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Bagi memudahkan pergerakan penumpang, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kededua negara ditempatkan bersama di stesen Bukit Chagar dan Woodlands North supaya pemeriksaan imigresen hanya perlu dilakukan di lokasi pelepasan sahaja.

Sebelum ini, pihak berkuasa telah mengumumkan beberapa pencapaian penting bagi penyiapan laluan penghubung tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pada September, LTA telah mengumumkan bahawa Stesen MRT Woodlands North telah siap untuk operasi RTS Link.

Sebelum itu, pada Ogos, Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke menyatakan bahawa semua infrastruktur stesen dan landasan di bahagian Malaysia telah siap dibina.

Pada ketika itu, beliau berkata RTS Link berada pada peringkat akhir ujian penyepaduan antara Singapura dengan Malaysia sebelum perkhidmatan penumpang dijadualkan bermula.