Topic followed successfully
Go to BHkuS’pura lulus undang-undang urus insiden rentas sempadan jelang pembukaan RTS Link
S’pura lulus undang-undang urus insiden rentas sempadan jelang pembukaan RTS Link
S’pura lulus undang-undang urus insiden rentas sempadan jelang pembukaan RTS Link
Singapura telah meluluskan undang-undang baharu yang menetapkan bagaimana Singapura dan Malaysia akan menguruskan keselamatan landasan kereta api dan insiden rentas sempadan apabila Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) mula beroperasi.
Undang-undang baharu itu juga meliputi pemeriksaan imigresen secara bersama di Woodlands North di Singapura dan Bukit Chagar di Johor Bahru.
Mengumumkan demikian di Parlimen pada 5 Mei, Menteri Undang-undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, menggariskan rangka kerja untuk menguruskan insiden rentas sempadan di landasan kereta api sepanjang empat kilometer itu, yang disasarkan mula beroperasi pada Disember.
Jika insiden berlaku ke atas sesebuah kereta api dan ia masih boleh meneruskan perjalanan, kejadian itu akan ditangani oleh pihak berkuasa di tempat ia berhenti.
Namun, jika kereta api itu tidak dapat bergerak, negara di mana ia berada akan menguruskan insiden tersebut.
Sekiranya kereta api itu terhenti di antara Jeti 47 (penanda sempadan Malaysia) dengan Jeti 48 (penanda sempadan Singapura), muncung kereta api itu akan menentukan negara manakah yang bertanggungjawab sebagai pengurus insiden tersebut.
Bagi kereta api yang menuju ke Singapura, Malaysia akan menjadi pengurus insiden itu sehingga muncung kereta api melintasi Jeti 48, di mana Singapura akan mengambil alih, walaupun sebahagian besar gerabaknya masih berada di Malaysia, jelas Encik Tong.
Bagi kereta api ke Malaysia, Singapura adalah pengurus insiden sehingga muncung kereta api itu melintasi Jeti 47, yang mana Malaysia akan mengambil alih – walaupun sebahagian besar gerabak kereta api itu masih berada di Singapura.
Jika insiden landasan tidak melibatkan kereta api, negara yang pegawainya tiba dahulu di lokasi kejadian di antara Jeti 47 dengan Jeti 48 akan menguruskannya.
Pegawai Singapura, termasuk daripada pasukan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), boleh bertindak dalam kecemasan di Malaysia untuk menyelamatkan nyawa atau mengehadkan kerosakan, dan begitu juga pegawai Malaysia di Singapura.
Namun, mereka tidak boleh membuat tangkapan di negara lain, tegas Encik Tong.
Rangka kerja itu juga merangkumi jenayah biasa dalam kereta api RTS Link, seperti mencuri atau mencabul kehormatan.
Kedua-dua negara akan mempunyai bidang kuasa jenayah serentak ke atas kesalahan di dalam kereta api yang sedang transit dan di sepanjang laluan antara Jeti 47 dengan Jeti 48.
Selain itu, bidang kuasa terletak pada negara tempat kesalahan itu berlaku.
