TP lancar inisiatif galak pengguna jalan raya jaga keselamatan satu sama lain
TP lancar inisiatif galak pengguna jalan raya jaga keselamatan satu sama lain
Dengan kematian akibat nahas trafik mencapai tahap tertinggi dalam 10 tahun dan kemalangan jalan raya yang semakin meningkat, satu inisiatif kesedaran awam baru telah dilancarkan pada 7 Mac.
Ia bertujuan menggalakkan semua pengguna jalan raya agar menjaga keselamatan antara satu sama lain.
Pejalan kaki, pemandu kenderaan dan penunggang basikal yang menyertai inisiatif ‘Pengguna Jalan Raya Berjaga-jaga’ oleh Polis Trafik (TP) boleh menerima maklumat komprehensif tentang keselamatan jalan raya, amaran dan nasihat.
Ia bertujuan berkongsi pandangan tentang konsep seperti jarak ikut yang selamat dan amalan lintasan yang betul serta meningkatkan etika jalan raya dengan membantu orang ramai memahami keperluan orang lain melalui senario dan testimoni kehidupan sebenar.
Sesi latihan dan acara untuk pengguna jalan raya juga akan diadakan sama.
Mengumumkan inisiatif itu, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar), Cik Sim Ann, berkata: “Keselamatan jalan raya pada asasnya adalah tentang interaksi manusia.
“Apabila kita sedar kesalinghubungan kita di jalan raya, kita berubah daripada sekadar tanggungjawab individu kepada kewaspadaan kolektif.
“Kita boleh membentangkan risiko kepada satu sama lain, atau, menerusi langkah seperti memberi perhatian dan kesabaran, akan membantu kita semua pulang ke rumah dengan selamat setiap hari,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap di pameran bergerak ‘SaferSG, Together’ yang julung kalinya diadakan di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Suntec.
Ia merupakan pameran bergerak pertama yang bertujuan untuk menghimpunkan masyarakat supaya bekerjasama dengan polis dalam pencegahan jenayah, kesedaran penipuan, keselamatan jalan raya dan kesediaan kecemasan.
Perangkaan tahunan yang dikeluarkan TP pada Februari 2026 menunjukkan bahawa kematian akibat nahas jalan raya meningkat daripada 142 pada 2024 kepada rekod tertinggi iaitu 149 pada 2025.
Bilangan yang cedera dalam kemalangan jalan raya juga meningkat sebanyak enam peratus – daripada 9,342 kepada 9,955 dalam tempoh yang sama.
Punca utama kemalangan jalan raya adalah “gagal berjaga-jaga dengan betul”, kata Cik Sim.
Untuk menangani isu tersebut, TP akan meluaskan penguatkuasaan kamera lampu merah.
TP juga akan melancarkan Kempen Kesopanan Jalan Raya Kebangsaan pada akhir 2026, kata Cik Sim.
Kerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan rakan kongsi komuniti bertujuan menggalakkan tanggungjawab bersama dan tingkah laku yang baik dalam kalangan pengguna jalan raya, sekali gus membawa kepada jalan raya yang lebih selamat.
“Ideanya adalah untuk melangkaui pematuhan peraturan lalu lintas dan memberi tumpuan kepada sikap bertimbang rasa, seperti memberi laluan,” kata Cik Sim.
Enam lagi pameran ‘SaferSG, Together’ akan diadakan, termasuk satu pada Jun 2026 di Pusat Beli Belah Punggol Coast, dan satu lagi pada Oktober 2026 di HDB Hub di Toa Payoh.

