Penganjur mahu bazar Kg Gelam jadi ruang masyarakat berkumpul, rai Ramadan lebih bermakna

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penganjur mahu bazar Kg Gelam jadi ruang masyarakat berkumpul, rai Ramadan lebih bermakna

Jan 23, 2026 | 8:28 PM

Penganjur mahu bazar Kg Gelam jadi ruang masyarakat berkumpul, rai Ramadan lebih bermakna

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kampong Gelam, Ramadan
Aktiviti akan diadakan setiap hari di Bazar Kampong Gelam yang akan berlangsung dari 11 Februari hingga 15 Mac. Kegiatan yang diadakan memastikan ada tumpuan kepada aspek kemuliaan Ramadan. Antara yang menjayakan bazar ini adalah (dari kiri) pengarah Syed’s Trader, Syed Muhammad Farit; Pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof; Pengurus Operasi, Syed’s Trader, Encik Mohd Yusoff Mohamed Nasser; Ahli Jawatankuasa Eksekutif KGA, Encik Mohamed Salleh Patail; dan Pengurus Operasi, Syed’s Trader, Encik Muhammad Syaifulnizam Muhammad Sukkor. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Pengunjung Bazar Kampong Gelam boleh menantikan pelbagai aktiviti harian yang meriah sepanjang Ramadan, menjadikan pengalaman di bazar itu lebih daripada sekadar membeli juadah dan barangan.

Pengurus operasi Syed’s Trader, yang juga merupakan penganjur bazaar, Encik Mohd Yusoff, berkata kepada Berita Harian (BH) bahawa peluasan program tahun ini bertujuan merapatkan hubungan masyarakat serta menggalak pengunjung meluangkan masa yang lebih bermakna di bazar sepanjang Ramadan.

“Pada tahun ini, kami mahu bazar ini menjadi lebih daripada sekadar tempat membeli makanan atau berbelanja untuk Hari Raya,” katanya.

“Kami mahu ia menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, belajar, bermuhasabah dan menyambut Ramadan dengan lebih bermakna.”

Berbeza dengan 2025 yang hanya menampilkan aktiviti pada hujung minggu, program tahun ini dijalankan sepanjang bazar berlangsung dari 11 Februari hingga 15 Mac.

Pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, berkata bazar tahun ini bermula lebih awal, iaitu sekitar seminggu sebelum Ramadan, bagi memberi ruang kepada pengunjung merasai pengalaman bazar secara santai sebelum bulan puasa bermula.

“Kami bermula lebih awal kerana mahu orang datang tanpa tergesa-gesa, cuba makanan, lihat barangan runcit dan menikmati suasana bersama keluarga,” katanya.

Aktiviti dari Isnin hingga Khamis akan memberi tumpuan kepada program berbentuk keagamaan dan muhasabah diri, sekali gus mewujudkan keseimbangan antara pengalaman kerohanian dan kemasyarakatan.

Ini termasuk ceramah agama dan sesi dakwah yang menampilkan pendakwah tempatan terkenal, serta inisiatif kemasyarakatan yang dianjurkan dengan kerjasama masjid dan badan bukan mencari untung, Membina Community.

“Dari Isnin hingga Khamis, kami tumpukan kepada program dakwah dan pengisian rohani, supaya pengunjung dapat benar-benar menghayati makna Ramadan dalam masyarakat,” kata pengarah Syed’s Trader, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad.

Aktiviti untuk kanak-kanak seperti sesi bercerita dan persembahan mikrofon terbuka turut diadakan.

“Kami mahu kanak-kanak belajar sambil bergembira, mendengar cerita daripada golongan lebih tua, menulis nama dalam tulisan Arab dan memahami nilai Ramadan dengan cara yang dekat dengan mereka,” tambahnya.

Suasana hujung minggu pula dijangka lebih meriah dengan persembahan artis tempatan dan serantau dari Singapura, Malaysia dan Indonesia, yang menyasarkan golongan keluarga serta pengunjung muda.

Malah kegiatan akan dimulakan sebelum Ramadan, dengan satu acara berjalan pada waktu malam dengan pelita – Night Walk with Pelita: A Journey of Light & Reflection – di sekitar kawasan Kampong Gelam pada 30 Januari 9 malam.

Sekitar 150 belia dan anggota masyarakat akan terlibat dalam acara itu bagi menyebarkan mesej tentang bahaya vape dan kempen Dadah Itu Haram dengan kerjasama Drugfree SG.

Artis tempatan dan juga dari Malaysia dan Indonesia yang akan membuat penampilan termasuk Iskandar Ismail, Alyph, Abang Sapau, Tenxi dan Nadhif Basalamah.

Acara utama, iaitu majlis berbuka puasa beramai-ramai, pula akan diadakan pada 28 Februari, dengan jangkaan kehadiran sekitar 300 hingga 400 orang.

“Majlis berbuka ini bukan sekadar makan bersama, tetapi satu usaha untuk mengeratkan silaturahim dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat,” kata Encik Zaki.

Pihak penganjur juga akan menyediakan khidmat jagaan anak-anak berusia 4 hingga 12 tahun apabila ibu bapa menunaikan ibadah solat tarawih di Masjid Sultan yang berdekatan, namun mereka perlu mendaftar bagi khidmat itu terlebih dahulu.

Khidmat jagaan kanak-kanak ini berbeza daripada perkhidmatan yang disediakan oleh Masjid Sultan.

Khidmat di bawah bazar mampu menampung sehingga 30 orang kanak-kanak, manakala khidmat di Masjid Sultan pula boleh menerima sehingga 50 orang.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk saling melengkapi dan membantu antara satu sama lain, supaya jika satu pihak mencapai kapasiti penuh, pihak yang satu lagi dapat menampung keperluan tersebut, kata Syed Muhammad Farit.

Ia mencerminkan kerjasama rapat antara Kampong Gelam Alliance (KGA) dan Masjid Sultan serta perniagaan lain di kawasan Kampong Gelam.

“Kami amat menghargai kerjasama Masjid Sultan dan rakan-rakan kami yang telah banyak menyokong kami dalam menjayakan bazaar ini dengan membenarkan kami menggunakan sumber-sumber mereka,” kata Encik Zaki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg