Presiden Tharman Shanmugaratnam telah melantik Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Polis Tee Chong Fui Sam selaku Pengarah Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB), berkuat kuasa 1 September 2024.
Beliau akan menggantikan Encik Denis Tang yang telah berkhidmat sebagai Pengarah CPIB sejak 1 Oktober 2018.
Pelantikan itu dibuat oleh Tuan Presiden atas nasihat Perdana Menteri Lawrence Wong.
Encik Tang, yang dipinjamkan ke CPIB, telah berkhidmat sebagai Pengarahnya selama hampir enam tahun.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 7 Ogos, semasa memegang jawatan tersebut, beliau telah meningkatkan keupayaan operasi Biro dan memulakan projek transformasi digital dan menyelia penyiasatan beberapa kes berprofil tinggi.
Encik Tang juga mengukuhkan perkongsian dengan sektor swasta dalam memerangi rasuah dan membentuk kerjasama dua hala yang lebih kukuh dengan agensi antirasuah asing di Asean dan seberang.
Beliau akan kembali ke Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), organisasi induknya, tambah PMO.
Encik Tee kini adalah Pengarah Biro Narkotik Pusat (CNB) manakala Timbalan Pengarah CNB (Operasi) Encik Leon Chan Liang Hua, 43 tahun, akan dilantik sebagai Pemangku Pengarah CNB mulai 1 September 2024.
Encik Tee, yang telah dilantik sebagai Pengarah CNB pada 6 November 2022, telah memastikan CNB terus mengekalkan pendirian tegas Singapura terhadap dadah dan memastikan keadaan dadah terkawal di bawah pimpinannya.
“Beliau mempertingkatkan pendidikan pencegahan dan usaha penglibatan untuk memerangi sikap liberal yang semakin meningkat terhadap penggunaan dadah di kalangan belia, dan meningkatkan kesedaran tentang kemudaratan dadah dalam masyarakat yang lebih luas,” kata MHA dalam satu kenyataan pada 7 Ogos.
CNB turut melancarkan banyak inisiatif termasuk ‘Hari Peringatan Mangsa Dadah’ pada Mei 2024 buat julung kalinya.
Encik Chan akan memegang jawatan Timbalan Pengarah CNB (Operasi) secara serentak.
Dalam 25 tahun beliau bersama Home Team, Encik Chan telah memegang pelbagai jawatan, termasuk Komander Divisyen Polis Woodlands, menurut kenyataan yang sama.
Selaku Timbalan Pengarah CNB (Operasi) sejak 1 Jun 2021, Encik Chan telah mengawasi penggunaan teknologi baru untuk meningkatkan operasi CNB, seperti penempatan kit ujian air liur yang membolehkan pegawai CNB mengesan penyalahgunaan dadah dengan lebih cekap semasa operasi.
Beliau juga telah bertanggungjawab untuk perintis ‘Pengawasan 2.0’ CNB, yang meningkatkan keberkesanan CNB dalam menyelia bekas penyalah guna dadah, dan juga inisiatif seperti ujian rambut dan bukan ujian air kencing untuk pengesanan dadah bagi mengurangkan gangguan kepada kehidupan penyelia.
“CNB telah mencapai banyak kejayaan kejayaan operasi yang ketara di bawah kepimpinannya seperti penahanan beberapa pemimpin sindiket pengedaran dadah di luar negara,” kata MHA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg