Sekumpulan pengarah syarikat pengendali tali pusat, Cordlife, telah memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Singapura untuk menghalang syarikat itu daripada mengeluarkan saham baru.
Sementara menunggu persidangan permohonan itu, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan injunksi atau arahan larangan sementara pada 19 April, kata syarikat itu pada 22 April.
Pihak yang menuntut terdiri daripada pemegang saham kawalan Gedung Serbaneka Nanjing Xinjiekou dan pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas, Zhai Lingyun dan Chen Xiaoling.
Langkah tersebut bagi menghalang syarikat Cordlife dan pemangku pengerusinya, Ho Choon Hou, dua pengarah bebas, Yeo Hwee Tiong dan Titus Cheong, dua pengarah bukan eksekutif dan bukan bebas, Yiu Ming Yiu dan Chow Wai Leong, serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ivan Yiu, daripada terlibat dalam kelakuan yang melanggar Seksyen 157 Akta Syarikat 1967. Seksyen tersebut menggariskan tugas dan liabiliti pegawai syarikat.
Pada 17 April lalu, syarikat tali pusat yang sedang mengalami pelbagai kemelut baru-baru ini telah mengumumkan usulan untuk mengumpulkan $8.2 juta dengan mengeluarkan 51.2 juta saham biasa dengan harga 16 sen setiap satu.
Menurut pengumuman 17 April itu, Cordlife dikatakan menyertai dua perjanjian langganan dengan Charming Global Enterprises (CGE) dan Encik Darren Ng, seorang individu bernilai tinggi yang berpangkalan di Singapura. Melalui penjualan privet masing-masing, CGE akan melanggan 44.5 juta saham baru dengan harga $7.1 juta, manakala Encik Ng akan membeli 6.7 juta saham dengan harga $1.1 juta
Secara kolektif, kedua-duanya akan memegang sekitar 16.6 peratus daripada modal Cordlife yang meningkat selepas penjualan saham baru. Ia menyebabkan asas saham syarikat meningkat kepada 307.5 juta daripada 256.3 juta pada masa ini ekoran penempatan persendirian.
Saham Cordlife menjunam pada tahap terendahnya, 12.3 sen setiap saham pada 19 April sebelum syarikat itu meminta perdagangan dihentikan. Ia kembali meneruskan perdagangan pada 22 April dan harga saham naik 0.4 sen kepada 12.7 sen setiap saham, kenaikan 3.3 peratus pada 9.17 pagi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg