Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Cordlife buat laporan polis, kemungkinan salah laku bekas pekerja

Apr 18, 2024 | 3:07 PM
Syarikat Cordlife menyatakan mereka akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan berhubung laporan polis yang telah dibuatnya itu.
Syarikat Cordlife menyatakan mereka akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk siasatan berhubung laporan polis yang telah dibuatnya itu. - Foto SHIN MIN

Lembaga pengarah Cordlife telah membuat laporan polis pada 17 April berhubung kemungkinan berlaku salah laku, di tengah-tengah siasatan dalaman yang mereka jalankan.

Proses di syarikat perbankan darah tali pusat itu telah menjadi perhatian selepas pendedahan pada 30 November 2023, bahawa unit darah tali pusat yang disimpan dalam tujuh daripada 22 tangki simpanannya terdedah kepada suhu yang tidak optimum.

Dalam satu daripada tujuh tangki, tangki A, yang menyimpan 2,200 unit darah tali pusat, didapati tidak sesuai untuk pemindahan sel induk.

Dalam pemfailan bursa pada 18 April, Cordlife berkata: “Berdasarkan penemuan awal siasatan dalaman yang dijalankan oleh perunding luar yang ditugaskan oleh Jawatankuasa Siasatan, atau COI, (yang masih berterusan), dan maklumat yang tersedia, COI berpendapat ia telah mendedahkan bukti awal kemungkinan salah laku melibatkan kebanyakan bekas pekerja kumpulan itu berkaitan insiden tangki A.”

Syarikat itu menambah, ia telah mengadakan COI untuk memahami bagaimana insiden itu berlaku dan mencegah kejadian daripada berulang.

Dalam pemfailan itu, lembaga itu berkata laporan polis dibuat tanpa dua pengarah – Encik Zhai Lingyun dan Cik Chen Xiaoling. Mereka adalah pengarah Nanjing Xinjiekou Department Store, yang mempunyai 20.3 peratus kepentingan dalam Cordlife.

Cordlife berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan berhubung laporan polis itu.

Akhbar The Straits Times telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Setakat ini, kerosakan kepada 7,500 unit darah tali pusat daripada tangki A, tangki lain dan bekas untuk mengangkut spesimen atau ‘dry shipper’ telah disahkan.

Baki lima tangki yang menyimpan sekitar 14,000 unit darah tali pusat, telah disifatkan oleh pihak berkuasa kesihatan sebagai berisiko rendah di sebalik terjejas akibat penurunan suhu, dan ujian lanjut untuk menjana keputusan yang lebih konklusif dijangka siap dalam masa satu tahun.

Garis masa ini telah disanggah oleh pakar perbankan darah tali pusat antarabangsa, yang menyatakan bahawa ia boleh dilakukan dalam lapan hingga 10 minggu, tetapi Cordlife mengekalkan garis masa satu tahun berdasarkan kapasiti ujian semasa makmal yang berkelayakan di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg