Cik Corinna Lim, pengarah eksekutif bagi kumpulan advokasi wanita, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware), akan meletak jawatan pada hujung 2025.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 30 Oktober, pertubuhan bukan mengaup keuntungan tersebut mengumumkan bahawa Cik Lim Shoon Yin akan mengambil alih jawatan tersebut mulai 1 Januari 2026, lapor The Straits Times (ST).
Cik Lim Shoon Yin seorang perunding dan ketua global dalam bidang kepelbagaian, kesaksamaan, dan keterangkuman di Russell Reynolds Associates, sebuah firma yang menyediakan khidmat pencarian eksekutif dan nasihat kepimpinan, menurut profil LinkedIn beliau.
Mengucapkan terima kasih kepada Cik Corinna Lim atas sumbangannya, Aware menyatakan bahawa beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan organisasi tersebut.
“Beliau telah memimpin usaha untuk memperkukuh perlindungan di tempat kerja, cuti bapa yang lebih baik, akses perumahan yang lebih baik untuk ibu tunggal, dan perlindungan undang-undang yang lebih kukuh buat mangsa keganasan seksual,” katanya.
Cik Corinna Lim, 60 tahun, seorang penerima biasiswa Fulbright, memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Universiti Columbia di New York, serta ijazah undang-undang daripada Universiti Nasional Singapura (NUS).
Selepas dipanggil untuk menyertai Peguam Negara Singapura pada 1988, beliau memulakan kerjaya undang-undangnya di firma guaman Allen & Gledhill sebelum berpindah ke Khattar Wong & Partners, dan seterusnya, Koh Ong & Partners.
Semasa mengamalkan undang-undang, beliau memainkan peranan penting dalam membantu merangka Rang Undang-Undang Keganasan Keluarga yang dibentangkan di Parlimen pada 1995 oleh pakar bedah ortopedik dan mantan Anggota Parlimen Dicalon (NMP), Cik Kanwaljit Soin – yang juga merupakan bekas presiden Aware.
Pada 2000, Cik Corinna Lim memulakan syarikat teknologi Bizibody Technology bersama-sama dengan adik kembarnya, yang juga seorang peguam, dan beliau menjadi ketua eksekutifnya selama lima tahun.
Beliau dilantik sebagai pengarah eksekutif pertama Aware pada 2010, selepas menyertai Aware pada Mac 1992 dan menjadi sukarelawan yang memberi kaunseling undang-undang percuma di klinik undang-undang pertubuhan itu.
Penggantinya akan mengambil alih jawatan di Aware selepas kerjaya cemerlang di beberapa syarikat pelbagai negara (MNC) – termasuk Shell, Microsoft, dan pengeluar wangian Switzerland, Givaudan – di mana beliau membantu memajukan kepelbagaian dan keterangkuman.
Aware berkata: “Sepanjang kerjayanya, beliau telah berusaha memecahkan halangan sistemik, memperjuangkan kepimpinan wanita, dan mencipta tempat kerja yang lebih selamat dan inklusif – komitmen-komitmen yang menjadi teras misi Aware.”
Cik Lim Shoon Yin juga seorang ibu kepada empat orang anak, sukarelawan Olimpik Khas, dan sudah lama memperjuangkan keterangkuman golongan kurang upaya, tambah Aware.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg