Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) sejak 2020, Encik Tan Chye Hee, dilantik setiausaha tetap (pembangunan ehwal dalam negeri) dan setiausaha tetap (penerangan dan pembangunan) di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) mulai 1 Oktober 2025, menurut kenyataan media oleh Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) pada 29 Ogos.
Encik Tan, 52 tahun, memulakan kerjayanya dalam Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 1992 setelah dianugerahkan biasiswa luar negara SPF. Pada 2001, beliau dilantik ke Perkhidmatan Pentadbiran.
Sebelum dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya (siasatan dan risikan) di SPF pada 2015, beliau memegang jawatan dalam Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Sementara itu, dua lagi setiausaha tetap akan menerima jawatan baru.
Encik Tan akan mengambil alih portfolio pembangunan ehwal dalam negeri daripada Encik Aubeck Kam pada 1 Oktober.
Encik Kam merupakan setiausaha tetap (pembangunan ehwal dalam negeri) sejak November 2022.
Namun, beliau akan meneruskan peranannya sebagai setiausaha tetap (pembangunan sosial dan keluarga) – jawatan yang dipegangnya sejak April 2022.
Encik Kam, 54 tahun, memegang pelbagai jawatan di SPF dan MTI sebelum dilantik sebagai timbalan setiausaha di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 2006.
Beliau turut berkhidmat di bekas Penguasa Pembangunan Media (MDA) selaku ketua pegawai eksekutif pada 2010 serta setiausaha tetap untuk bekas Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) pada 2012.
Encik Kam dilantik sebagai setiausaha tetap (tenaga manusia) pada 2016.
PSD juga mengumumkan pertukaran kepada peranan Encik Chng Kai Fong, 46 tahun, yang akan dilantik semula sebagai setiausaha tetap (pembangunan) di MDDI mulai 1 Oktober.
Ini tambahan kepada jawatannya sebagai setiausaha tetap (pembangunan, Negara Bijak dan keselamatan siber) di Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Encik Chng memegang pelbagai jawatan di bekas Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian; MHA; MTI; Kolej Perkhidmatan Awam dan Kumpulan Komunikasi PMO.
Beliau turut berkhidmat di Shell Eastern Petroleum selama dua tahun.
Encik Chng dilantik sebagai setiausaha privet utama kepada mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, pada 2014 dan menjadi pengarah urusan di Lembaga Kemajuan Ekonomi pada 2017.
Pada 2021, beliau dilantik sebagai setiausaha tetap kedua untuk Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital (SNDGG) dalam PMO.
Pada tahun selanjutnya, beliau dilantik jawatan setiausaha tetap kedua (penerangan dan maklumat), dan setiausaha tetap kedua (keselamatan siber) dalam PMO.
Pada 2023, beliau telah dilantik semula sebagai setiausaha tetap (pembangunan) di MCI dan untuk SNDGG, serta keselamatan siber dalam PMO.
Beliau kemudian melepaskan jawatannya sebagai setiausaha tetap (pembangunan) di SNDGG untuk dilantik semula sebagai setiausaha tetap (maklumat dan pembangunan) di MCI.
Seterusnya, Encik Chng menjadi setiausaha tetap (maklumat dan pembangunan) di MDDI setelah MCI diberikan nama baru, MDDI, pada Julai 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg