Pemerintah telah mengambil tindakan pantas untuk mencegah penyalahgunaan vape dan etomidate daripada berleluasa.
Namun, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pernah berharap supaya tindakan tersebut dilakukan lebih segera.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata dalam tempoh singkat, pemerintah telah meningkatkan penguatkuasaan, termasuk penglibatan berbilang agensi, sebagai sebahagian daripada pendekatan seluruh pemerintah bagi memerangi isu tersebut.
“Saya sememangnya meletakkan harapan agar kami dapat melakukan usaha ini lebih awal.
“Namun, saya rasa kami (pemerintah) telah bertindak dengan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media di Pusat Akhbar Nasional (NPC) bagi menjawab soalan mengenai jurang masa yang berlalu sejak Februari 2018 – apabila penggunaan vape di Singapura mula dilarang – sehingga hukuman ditambah bagi pesalah vape dan etomidate pada 28 Ogos.
Sidang media tersebut diadakan untuk mengumumkan usaha seluruh pemerintah memerangi penularan vape dan etomidate di Singapura, yang merangkumi penguatkuasaan, hukuman, pemulihan dan pendidikan.
Selain Encik Ong, sidang tersebut diterajui dua menteri lain iaitu Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee.
Menteri Negara (Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, turut hadir.
Encik Ong berkata penguatkuasaan yang dipertingkatkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini, khususnya terhadap penyalahgunaan etomidate yang kian didapati terkandung dalam vape, menunjukkan hasil yang amat memberangsangkan.
Hasil pemeriksaan ke atas sekitar 100 vape secara rambang oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA) baru-baru ini mendapati sekitar 12 peratus vape terkandung etomidate, katanya. Vape yang mengandungi etomidate juga dikenali sebagai Kpod.
Jumlah itu merupakan penurunan hampir separuh daripada sepertiga (sekitar 33 peratus), menerusi dapatan yang diumumkan Encik Ong pada Julai.
Bersama kempen kesedaran dan pendidikan umum yang telah dilancarkan sejak itu, beliau berkata ramai kini lebih peka dengan akibat penggunaan vape dan etomidate.
Etomidate digunakan untuk menidurkan pesakit sebelum prosedur perubatan di hospital, tetapi ia didapati terkandung dalam vape.
Apabila dihisap, etomidate boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan otot, sukar bernafas dan sawan.
“Ini memberikan kami hasil kukuh bahawa pendirian lebih tegas ini menyebabkan penurunan terhadap kelaziman penggunaan etomidate kerana lebih ramai orang menyedari bahaya dan akibat daripada penggunaan bahan tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Encik Ong berkata pendekatan berteraskan pemulihan adalah sesuatu yang sesuai ditujukan bagi pengguna vape, memandangkan lebih separuh daripada pengguna berusia bawah 30 tahun, dengan sepertiga berusia bawah 18 tahun.
Bagi pengguna etomidate pula, lebih 80 peratus atau 4 daripada 5 individu berusia bawah 30 tahun.
Encik Ong berkata sebahagian besar golongan muda menggunakan vape kerana percaya ia tidak berbahaya seperti menghisap rokok.
“Didorong perasaan ingin tahu, atau kerana paksaan, atau hanya kerana kejahilan, mereka berjinak-jinak ke arah penyalahgunaan bahan, yang kita lihat sekarang adalah terhadap etomidate,” katanya.
Justeru, hukuman yang dipertingkat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) harus mencerminkan unsur pemulihan agar golongan muda itu diberi peluang membuang tabiat menggunakan vape dan etomidate, tambahnya.
Namun, jika mereka memutuskan untuk tidak menghadiri sesi pemulihan atau mengulangi kesalahan itu lagi, hukuman tersebut akan meningkat secara mendadak dan mereka boleh berhadapan dengan hukuman penjara.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Ogos, pesalah kali pertama yang menyalahgunakan etomidate boleh dikenakan denda serta diwajibkan menghadiri sesi pemulihan sehingga enam bulan di bawah Akta Racun (PA).
Sesi pemulihan meliputi sesi kaunseling dan sokongan berkumpulan, antara lain.
Jika individu tersebut mengulangi kesalahan itu buat kali kedua, mereka akan diberkas di bawah MDA dan perlu menjalani pengawasan mandatori selama enam bulan, termasuk ujian dadah dan pemulihan, tambah MOH dan MHA.
“Keperluan pemulihan yang telah dijelaskan menggambarkan peluang kedua yang diberikan pemerintah kepada pesalah,” jelas Encik Ong.
Berhubung penguatkuasaan berbilang agensi, beliau berkata ada baiknya Singapura melarang penggunaan vape awal kerana sekiranya ia tidak dilakukan, kedudukan Singapura mungkin lebih mencabar untuk menangani isu sedemikian.
Secara tidak langsung, ini membolehkan pemerintah memperkasakan pegawai daripada pelbagai agensi untuk menguatkuasakan larangan penggunaan vape, kata beliau.
Malah MOH dan MHA menyatakan Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) telah meningkatkan operasi penguatkuasaan bersama HSA, di samping penguatkuasaan di ruang umum di pengangkutan awam.
Dalam kenyataannya pada 28 Ogos, CNB berkata etomidate akan disenaraikan sebagai dadah Kelas C di bawah MDA mulai 1 September.
Sekali gus, pegawai penguatkuasaan HSA diberi kuasa menangkap, menyita dan menyiasat kes berkaitan penyalahgunaan etomidate.
Pegawai penguatkuasaan HSA juga diberi kuasa memasuki premis tanpa waran bagi memeriksa atau merampas barang bagi tujuan penguatkuasaan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) (TCASA).
Mengulas tentang langkah menyenaraikan etomidate sebagai dadah Kelas C selama enam bulan mulai 1 September, Encik Ong berkata ia adalah model penguatkuasaan yang perlu diperhalusi.
“Kami telah membangunkan rangka kerja kini, yang dicerminkan melalui model penguatkuasaan yang telah dibentangkan hari ini.
“Kami merancang untuk menggubal perundangan baru pada suku pertama 2026,” ujarnya.
Dalam pada itu, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, berkongsi Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menyokong usaha penguatkuasaan ini menerusi pegawai MOM di lapangan.
Beliau berkata pegawai ini, seramai hampir 700 orang, akan diberi kuasa di bawah TCASA untuk “mengambil tindakan penguatkuasaan oportunistik” terhadap pengguna vape serta meminjamkan beberapa pegawainya kepada HSA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg