Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengasas syarikat urus sisa ingin hapus stereotaip ‘kotor’

Jul 19, 2024 | 8:00 PM
Semasa membesar, Shaik Nifael Shaik Nazeemuddin, sering mendengar ungkapan ‘kalau tidak belajar dengan rajin, nanti apabila dewasa harus kerja cuci longkang’ dan termakan dengan stereotaip tersebut.
Semasa membesar, Shaik Nifael Shaik Nazeemuddin, sering mendengar ungkapan ‘kalau tidak belajar dengan rajin, nanti apabila dewasa harus kerja cuci longkang’ dan termakan dengan stereotaip tersebut. - Foto ihsan SHAIK NIFAEL SHAIK NAZEEMUDDIN

Sebagai pengasas syarikat pengurusan sisa, Shaik Nifael Shaik Nazeemuddin, akur bahawa ia bukan satu tugas ‘glamor’.

Malah, semasa membesar, beliau sering mendengar ungkapan, ‘kalau tidak belajar dengan rajin, nanti apabila dewasa harus kerja cuci longkang’ dan termakan dengan stereotaip tersebut.

Kini, pengasas Jetters Incz, syarikat pengurusan sisa yang pakar dalam membaiki dan menyelenggara sistem perparitan, dan penerima kehormat bagi anugerah Business For Good 2024 itu ingin mengubah landskap bagi industri pengurusan sisa.

Ini dengan menghapus stereotaip bahawa ia pekerjaan yang kotor dan mencari cara untuk merapatkan jurang antara badan pentadbir lesen pembersihan dengan pengumpulan sisa dengan syarikat-syarikat yang menguruskan sisa.

Shaik Nifael, 35 tahun, yang menubuhkan Jetters Incz hampir pada 2014, berkongsi dengan Berita Harian (BH) dalam talian melalui Zoom bahawa walaupun ia merupakan satu penghormatan selaku penerima kehormat bagi anugerah Business For Good.

Menyifatkan dirinya belum tiba di garis penghujung, Shaik Nifael berkata, masih banyak yang perlu dilakukan sebelum beliau dapat berasa bangga atas pencapaiannya.

Jetters Incz merupakan antara 38 syarikat yang diberi penghormatan daripada 84 pencalonan dalam empat kategori –Culture For Good, Business For Good, Technology For Good dan Leadership For Good – serta satu kategori istimewa, Voices for Good, oleh pertubuhan tidak mencari untung (NPO), Brands for Good, yang menyambut ulang tahun ke-10 pada 19 Julai di hotel The Ritz Carlton Millenia.

Antara cabaran yang Shaik Nifael hadapi adalah kos mengimport teknologi untuk perparitan dari Amerika Syarikat dan Jerman, serta komitmen beliau terhadap memberikan perkhidmatan kepada klien yang tidak berbelah bagi.

“Saya tidak boleh mengeluh jika klien saya menelefon pada waktu tidak menentu kerana memang tugas saya untuk mengatasi kecemasan yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Adakalanya mereka perlukan khidmat saya pada 2 atau 3 pagi jika paip bocor atau tersumbat dan saya perlu kerahkan tenaga ke lokasi tertentu dengan secepat mungkin.

“Namun, saya tetap pastikan bahawa saya memberi klien perkembangan baru dengan kerap dan saya sendiri yang akan bertanggungjawab kepada mereka jika terdapat sebarang kesilapan yang berlaku.

“Ia amat penting bagi saya untuk mengenali kekurangan diri dan cari jalan untuk atasi masalah,” kata Shaik Nifael mengenai syarikatnya yang beroperasi 24 jam.

Bagi beliau, yang telah banyak dipengaruhi oleh bapanya yang juga berkecimpung dalam industri sama, kerja keras dan minat mendalam adalah kunci kejayaan.

Shaik Nifael menasihati mereka yang berminat menjadi usahawan supaya menumpukan perhatian terhadap tiga aspek,

Ia termasuk faktor-faktor yang mendorong anda memulakan perniagaan; dari mana datangnya semangat untuk menjadi usahawan; dan kesanggupan untuk bekerja keras kerana seseorang itu tidak dapat bertahan dalam jangka masa yang panjang jika mereka hanya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.

“Perjalanan sebagai usahawan ini mungkin kelihatan sebagai sesuatu yang mudah dan seronok tetapi anda akan berasa bersendirian,” tambah bapa tiga anak itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg