HelloBikeSG, syarikat di sebalik perkhidmatan perkongsian basikal HelloRide, telah diberi amaran bertulis oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCS) kerana cuba mencadangkan perbincangan harga dengan pesaingnya, Anywheel.

Pengawal selia persaingan itu berkata dalam satu kenyataan pada 17 Ogos bahawa ia melancarkan siasatan mengenai kemungkinan pelanggaran Akta Persaingan selepas menerima aduan daripada Anywheel.

CCS berkata siasatannya mendapati seorang wakil utama HelloRide telah menghubungi seorang wakil Anywheel untuk mencadangkan perbincangan harga antara kededua syarikat tersebut pada dua kejadian berasingan, pada Julai dan Oktober 2025.

Anywheel tidak melibatkan diri lebih lanjut dengan HelloRide pada kededua kejadian itu, dan melaporkan komunikasi tersebut kepada CCS, kata kenyataan itu.

Memandangkan komunikasi tersebut tidak melibatkan pendedahan maklumat sensitif secara komersial, dan tiada perbincangan harga sebenar dengan Anywheel berlaku, tindakan HelloRide tidak melanggar Akta Persaingan, kata CCS.

Di Singapura, hanya terdapat dua pengendali perkhidmatan perkongsian basikal berlesen, iaitu HelloRide dan Anywheel, yang menawarkan sewaan basikal jangka pendek melalui aplikasi mudah alih. 

Oleh itu, “sebarang perbincangan harga atau penyelarasan antara kededua perniagaan itu berkemungkinan besar akan memberi kesan langsung dan ketara terhadap persaingan dan pengguna dalam pasaran ini,” kata CCS. 

Suruhanjaya itu, sebuah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Perindustrian (MTI), berkata tingkah laku HelloRide tidak boleh diterima.

Ketua pegawai eksekutif CCS, Encik Alvin Koh, memuji Anywheel kerana tidak melibatkan diri dengan HelloRide untuk membincangkan harga, dan kerana melaporkan perkara itu kepada suruhanjaya.

“Tingkah laku Anywheel adalah seperti yang kami harapkan daripada peserta pasaran yang bertanggungjawab, dan kami mahu meyakinkan perniagaan lain dalam kedudukan yang sama bahawa tindakan yang betul adalah tampil untuk membuat laporan,” tekan beliau. 

Encik Koh menambah bahawa kes itu merupakan peringatan kepada semua perniagaan bahawa mereka perlu bertindak secara bebas apabila menentukan tindakan mereka di pasaran.

“CCS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap perniagaan yang didapati terlibat dalam tingkah laku antipersaingan,” tegasnya.

Perniagaan yang didekati untuk mengambil bahagian dalam pertukaran maklumat antipersaingan, atau yang menerima maklumat sensitif komersial daripada pesaing mereka, harus segera menolak penyertaan, secara terbuka menjauhkan diri daripada perbincangan sebegitu, dan melaporkan perkara itu kepada CCS, kata suruhanjaya itu dalam kenyataannya.

CCS berkata ia menawarkan satu program keringanan hukuman untuk perniagaan yang kini terlibat dalam tindakan sedemikian, dengan peluang untuk mereka tampil dengan maklumat mengenai perjanjian antipersaingan dan menerima pengecualian penuh atau pengurangan besar dalam penalti kewangan.

Suruhanjaya itu menambah bahawa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan kartel di Singapura boleh melaporkannya menerusi skim ganjaran/pemberi maklumat, dengan ganjaran wang tunai sehingga $120,000, atau menerusi borang aduan dalam taliannya.