Seorang pegawai kanan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan seorang pengarah syarikat pembinaan yang didakwa atas tuduhan rasuah telah dilepaskan daripada tuduhan itu.
Ini bermakna Encik Tan Siam Chua, 61 tahun, seorang pegawai kanan HDB, dan Encik Liong Ah Chye, 62 tahun, pengarah syarikat pembinaan Liong Construction, tidak boleh didakwa semula atas kesalahan yang sama.
Pada 16 September, iaitu hari perbicaraan mereka dijadualkan bermula, pihak pendakwaan membuat permohonan untuk menarik balik pertuduhan terhadap mereka.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Eunice Chew tidak memberi penjelasan lanjut mengenai perkara tersebut di mahkamah, lapor The Straits Times (ST), yang telah menghubungi Pejabat Peguam Negara dan HDB untuk maklumat lanjut.
Pada September 2023, Encik Tan telah didakwa atas satu pertuduhan bersubahat dalam transaksi rasuah dengan ejen.
Encik Liong pula didakwa atas satu pertuduhan transaksi rasuah dengan ejen.
Beliau didakwa memberi sebut harga palsu daripada syarikatnya, melalui salah seorang pekerjanya, kepada pengurus kanan estet HDB, selepas dihasut Encik Tan untuk berbuat demikian.
Bercakap kepada ST selepas perbicaraan itu, Encik Tan berkata, “Saya gembira nama saya telah dibersihkan. Ia menjadi satu kelegaan buat saya dan keluarga.”
Encik Tan, yang telah digantung perkhidmatannya di HDB sejak didakwa pada 2023, menambah bahawa tempoh tersebut amat sukar buat beliau dan keluarga.
Beliau menambah, terdapat beberapa malam yang beliau tidak dapat melenakan mata, kerana yakin beliau tidak membuat sebarang kesalahan.
Peguamnya, Encik Kenneth Au-Yong, berkata beliau dan anak guamnya telah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan sekitar dua minggu lalu bahawa pihak pendakwaan merancang untuk menarik balik tuduhan tersebut.
Encik Au-Yong berkata: “Sekarang nama anak guam saya telah dibersihkan, saya rasa HDB perlu mengorak langkah untuk menghubunginya dan mengembalikan jawatannya.”
Encik Liong pula, melalui sebuah kenyataan yang dikeluarkan pihak peguamnya, berkata, “Pembebasan itu telah membuktikan keputusan saya untuk mempertikai pertuduhan itu sejak awal lagi. Ini kerana hati nurani saya sentiasa jelas bahawa saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak pernah mengeluarkan sebut harga palsu.”
Beliau yang diwakili peguam Tang Shangwei dan Dorcas Ong, berkata dengan prosiding mahkamah di belakangnya, beliau kini boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaannya.
Beliau menambah bahawa 2023 amat sukar buatnya, dan beliau berterima kasih kepada keluarga, rakan kongsi perniagaan, para pekerja dan peguamnya, yang telah memberi sokongan terhadapnya sepanjang masa sukar tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg