PENGECUALIAN pembayaran sewa akan diberikan kepada pegerai di pusat penjaja yang diuruskan oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) atau pengendali yang dilantik NEA, selama dua bulan lagi sehingga Ogos.

Dalam kenyataannya hari ini (30 Mei), NEA berkata tambahan dua bulan pengecualian pembayaran sewa itu adalah sebahagian daripada Belanjawan Kecekalan yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat Selasa lalu (26 Mei).

Sekitar 14,000 pegerai di pasar dan pusat penjaja akan menikmati manfaat daripada pengecualian sewa selama lima bulan, iaitu 50 peratus bagi Mac lalu, pengecualian sewa penuh dari April hingga Julai, serta pengecualian sewa 50 peratus bagi Ogos.

Pengecualian pembayaran sewa ini terhad pada $200 sebulan.

Di samping itu, khidmat pembersihan meja dan pinggan mangkuk berpusat akan juga diberikan subsidi selama sebulan lagi, bagi Jun.

Bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada sekitar 6,000 pegerai makanan yang dimasak, dengan orang ramai masih tidak dibenarkan menjamu selera di pusat penjaja.

Menteri Negara Kanan (Sekitaran dan Sumber Air), Dr Amy Khor berkata:

"Dengan pengecualian pembayaran sewa tambahan serta subsidi yang dilanjutkan bagi bayaran pembersihan meja dan khdimat cuci pinggan mangkuk berpusat, kami berharap dapat meringankan kos operasi pegerai kami sepanjang tempoh yang mencabar ini.

"Kami menggalak orang ramai terus menyokong penjaja kami dengan menggunakan khidmat penghantaran makanan atau membeli makanan untuk dibawa pulang."