Pengeluaran telur domestik menyusut kira-kira 5 peratus pada 2025 berbanding 2024.

Namun, pengurus ladang tempatan yang ditemu bual Berita Harian (BH) tetap optimis ia mampu mencapai sasaran pengeluaran negara menjelang 2035.

Menurut perangkaan tahunan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 8 Mei, pengeluaran telur tempatan merekodkan 736.7 juta biji pada 2025, berbanding 773.5 juta biji pada 2024.

SFA menyifatkan penurunan itu sebagai kesan daripada “cabaran operasi jangka pendek” yang menjejas beberapa ladang.

Singapura mempunyai tiga ladang telur – N&N Agriculture Pte Ltd, Seng Choon Farm Pte Ltd, dan Chew’s Agriculture Pte Ltd.

Cabaran ladang telur tempatan

Menjawab pertanyaan BH, Ketua Pegawai Eksekutif, N&N Agriculture, Encik Ma Chin Chew, mendedahkan bahawa ladangnya mencatat penurunan pengeluaran sebanyak 10 peratus.

Beliau menjelaskan bahawa permintaan pasaran yang perlahan menyukarkan proses mengurangkan jumlah ayam betina tua, lalu memaksa syarikat mengehadkan pengambilan kelompok anak ayam baru.

“Permintaan pasaran yang perlahan menyukarkan proses pelupusan ayam tua, maka kami terpaksa mengurangkan pengambilan anak ayam,” jelas Encik Ma.

Menurutnya, baka anak ayam baru yang bersaiz lebih besar juga memerlukan ruang lebih luas demi kesejahteraan haiwan, sekali gus menuntut pengurangan pengambilan sebanyak 10 peratus.

Selain itu, Encik Ma turut berdepan cabaran operasi berterusan seperti cuaca panas, pengurusan sisa, bekalan anak ayam yang terhad serta kekangan tenaga kerja.

Sementara itu, Chew’s Agriculture mencatat penurunan pengeluaran sebanyak 4 peratus.

Pengarahnya, Encik Edvin Lim, menjelaskan bahawa langkah itu diambil bagi meningkatkan kecekapan kos dan daya penghasilan melalui pemusnahan awal ayam yang kurang produktif.

Berbeza dengan trend tersebut, Pengarah Urusan, Seng Choon Farm, Encik Koh Yeow Koon, melaporkan peningkatan pengeluaran sebanyak 3 peratus.

Namun, beliau menekankan bahawa peningkatan pengeluaran masa depan bergantung pada usaha merangsang permintaan pengguna terlebih dahulu.

Bekalan telur kekal berdaya tahan

Meskipun pengeluaran tempatan menyusut, jumlah bekalan telur ayam negara kekal teguh, meningkat 1.2 peratus kepada 2,288 juta biji pada 2025 berbanding 2,260 juta biji tahun sebelumnya.

Lonjakan itu didorong oleh kepelbagaian sumber import, terutama dari Malaysia dan Thailand.

Susulan prestasi sektor domestik yang mencabar, pemerintah telah mengemas kini matlamat pertaniannya.

Sasaran ‘30 x 30’ kini diselaraskan pada pelan baru yang menyasarkan 30 peratus keperluan protein negara, merangkumi telur dan makanan laut, dihasilkan setempat menjelang 2035.

Dengan ladang tempatan kini menyumbang kira-kira 25 peratus daripada keperluan protein Singapura pada 2025, sektor telur berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat strategik tersebut.

Bagi N&N Agriculture, Encik Ma menyatakan keyakinan untuk memenuhi sasaran negara, dengan menyatakan bahawa penurunan pengeluaran pada 2025 bersifat sementara.

Menjelang 2027, ladang itu bakal memaksimumkan hasil dengan beralih pada baka ayam lebih kecil serta meneroka pasaran eksport bagi yang betina yang telah matang.

Seng Choon Farm pula memilih pendekatan lebih bersukat, terus mengembangkan perniagaan secara stabil sambil mengukuhkan jenama bagi menyokong sasaran protein kebangsaan 2035.

Teknologi AI sebagai pemangkin hasil

Untuk mengatasi isu tenaga kerja dan meningkatkan mutu, ladang telur tempatan kini menyepadukan teknologi termaju dan kecerdasan buatan (AI).

N&N Agriculture dan Seng Choon Farm telah memanfaatkan sistem AI bagi mengesan retakan dan kotoran pada kulit telur dengan lebih tepat, sekali gus melonjakkan keyakinan pengguna.

“Kami menggunakan robot pembersih kandang dan mesin palet (palletizer) untuk menyelaraskan operasi,” kata Encik Ma.

Pelaburan teknologi ini datang pada masa yang kritikal ketika Singapura memperhalusi pelan tindakan pertanian jangka panjangnya.

Demi menjamin bekalan makanan stabil meskipun berdepan gangguan, SFA akan terus meluaskan rangkaian sumber import sejagat bagi menyokong keperluan dalam negara.

Pada 2025, Singapura memperoleh bekalan makanan dari lebih 180 negara dan wilayah, meningkat dari 140 negara dua dekad lalu.

Sebagai contoh, SFA meluluskan Lithuania sebagai sumber baru telur bercangkerang, manakala Brazil, Lithuania, dan Paraguay kini dibenarkan membekalkan telur yang diproses.

SFA menegaskan walaupun pemerintah bersedia memanfaatkan tonggak keselamatan makanan menerusi strategi daya tahan makanan, Singapore Food Story 2, ia tidak dapat mengurangkan sepenuhnya semua gangguan bekalan.

Singapore Food Story 2, adalah strategi daya tahan makanan yang diperbaharui, yang dilancarkan pada November 2025 bagi memastikan Singapura dapat terus memenuhi keperluan makanan pentingnya semasa tempoh gangguan.

Ia juga menggalakkan industri makanan tempatan untuk mempelbagaikan import sambil menasihati pengguna agar kekal fleksibel dan boleh menyesuaikan diri dalam pilihan makanan mereka.

“Bekalan sejagat akan terus menghadapi ketidakpastian dan gangguan bekalan makanan mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

“Pemerintah akan melakukan apa yang termampu untuk mengurangkan kesan, seperti bersedia untuk memanfaatkan tonggak keselamatan makanan, Singapore Food Story 2, iaitu kepelbagaian, perkongsian sejagat, pengeluaran tempatan dan usaha penyimpanan bekalan apabila diperlukan,” kata SFA.