Topik diikuti
Pergi ke BHkuSFA: Ladang di S’pura diberi kelonggaran pelbagai tanaman mulai 1 Sep
SFA: Ladang di S’pura diberi kelonggaran pelbagai tanaman mulai 1 Sep
Langkah permudah syarat pajakan tanah, beri lebih masa bina kemudahan demi perkukuh keselamatan makanan negara
SFA: Ladang di S’pura diberi kelonggaran pelbagai tanaman mulai 1 Sep
Ladang-ladang di Singapura akan diberi kelonggaran menanam pelbagai jenis makanan bagi memenuhi sasaran pengeluaran tahunan mereka mulai 1 September.
Pengumuman itu antara yang dibuat Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 29 Mei sebagai sebahagian penambahbaikan kepada syarat pajakan ladang, berikutan maklum balas daripada industri.
Penambahbaikan itu merupakan usaha terkini bagi memudahkan pengurusan ladang, selepas cabaran dalam sektor pertanian tempatan mendorong Singapura pada November 2025, untuk menangguhkan matlamatnya mengeluarkan 30 peratus keperluan khasiat pemakanan menjelang 2030.
Matlamat itu digantikan dengan sasaran baharu iaitu pengeluaran serat dan protein menjelang 2035.
Pada masa ini, ladang-ladang tidak dibenarkan menanam jenis makanan yang tidak dinyatakan dalam cadangan tender mereka bagi memenuhi sasaran pengeluaran tahunan.
Mulai September, ladang sedia ada dan baharu boleh memohon bagi mempelbagaikan pengeluaran mereka bagi meliputi jenis makanan utama lain yang diluluskan SFA, iaitu sayur-sayuran berdaun, sayur-sayuran berbuah, tauge, cendawan, telur dan makanan laut.
“Langkah ini memberi ladang-ladang tersebut lebih ruang untuk menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran, sambil tetap menyumbang kepada matlamat keselamatan makanan Singapura,” kata SFA.
Di bawah rangka kerja pajakan yang dinaik taraf itu, agensi itu juga akan memberi ladang lebih masa untuk mendapatkan permit dan sijil yang diperlukan bagi pembinaan projek mereka – dari tiga tahun kepada lima tahun.
Pihak ladang juga akan diberi lapan tahun, berbanding lima tahun sebelum ini, untuk memenuhi sasaran pengeluaran mereka dari tarikh pajakan tanah bermula.
Jangka masa baharu ini akan bermula dengan pihak yang dianugerahkan tanah ladang yang dikeluarkan SFA untuk tender pada 29 Mei.
Petak tanah di Sungei Tengah dan Lim Chu Kang telah diperuntukkan untuk penanaman sayur-sayuran dengan pajakan 20 tahun.
SFA menyatakan, masa tambahan itu diberikan kerana perancangan dan pembinaan ladang berteknologi tinggi semakin rumit dan memerlukan lebih banyak masa.
Masa tambahan untuk pemilik ladang memenuhi sasaran mereka akan membolehkan mereka mewujudkan saluran jualan dan penghantaran barangan sebelum meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan.
Pada 2024, The Straits Times (ST) telah melaporkan beberapa ladang tempatan terpaksa ditutup.
Antaranya, ladang tempatan VertiVegies telah membatalkan rancangannya membina salah satu ladang sayur-sayuran dalaman terbesar di Singapura selepas gagal menyiapkan pembinaannya di Lim Chu Kang dalam tempoh tiga tahun yang ditetapkan dalam syarat tender.
Syarikat itu terpaksa memulangkan petak tanah berkenaan kepada SFA pada April 2022.
Timbalan Ketua Eksekutif SFA bagi korporat, industri dan teknologi, Encik Leong Der Yao, berkata pengeluaran tempatan merupakan sumber makanan segar yang boleh diperbaharui dan kekal tersedia walaupun semasa gangguan berpanjangan apabila import makanan tidak sampai ke Singapura.
“Penambahbaikan ini memberi ladang fleksibiliti yang lebih besar dan menyokong sektor pertanian tempatan yang berdaya maju sambil menyumbang kepada daya ketahanan makanan.
“Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan dasar penggunaan tanah pertanian sentiasa selari dengan keperluan industri,” katanya.
Pada 25 Mei, pihak berkuasa mengumumkan pelan merubah penggunaan tanah untuk menumpukan tanah ladang di utara Lim Chu Kang, sebagai sebahagian rancangan memajukan pembangunan hab pertanian makanan.
Rancangan itu telah tertangguh sejak diumumkan pada 2020.
