Seorang pengendali mesin warga Bangladesh dibebaskan pada 2 Januari daripada tuduhan menyebabkan kematian rakan sekerja dalam satu kemalangan pada 2020.
Encik Uttom, 44 tahun, yang menggunakan satu nama, telah didakwa membahayakan keselamatan pekerja berdekatan dengan melakukan perbuatan cuai semasa mengendalikan mesin penggunting di sebuah kilang di 11 Shipyard Crescent pada 24 Februari 2020.
Beliau dikatakan telah menekan butang pada panel mudah alih mesin itu, menyebabkan pintu penentu saiznya tertutup ketika pekerja lain sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, lapor The Straits Times.
Tindakannya sebelum ini dikatakan telah menyebabkan kematian Encik Karuppaiah Selvaraj.
Pada 2 Januari, Encik Uttom, yang diwakili oleh Cik Tan Su dan Encik Yip Jian Yang, daripada khidmat guaman percuma Pro Bono SG, telah dibebaskan daripada tuduhan itu.
Keputusan mahkamah itu bermakna beliau tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama sekali lagi.
Dalam satu kenyataan media pada November 2023, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata bahawa Kim Hock Corp, sebuah syarikat yang memproses besi buruk untuk eksport ke luar negara, telah didenda $240,000 pada 13 Oktober 2023, atas kematian Encik Karuppaiah.
Menurut kementerian itu, Encik Karuppaiah sedang memerhatikan mesin itu sebelum kemalangan menimpanya. Ketika itu Encik Uttom sedang mengendalikannya melalui panel mudah alih.
Menyedari bahawa kes pendakwaan Encik Uttom sedang berlangsung ketika itu, MOM berkata:
“Apabila digesa untuk mengaktifkan mesin, Uttom tersilap menekan butang yang sebaliknya menyebabkan pintu mesin menyepit Encik Karuppaiah.”
Encik Karuppaiah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Siasatan MOM mendedahkan bahawa Kim Hock Corp telah gagal mewujudkan prosedur kerja selamat yang mencukupi untuk mengawal risiko yang ditimbulkan kepada pekerja semasa mereka melakukan kerja penyelenggaraan pada mesin.
“Khususnya, prosedur yang dilaksanakan tidak sejajar dengan apa yang diperlukan dalam manual mesin, seperti memastikan mesin dinyahtenaga dan dikunci sebelum mendekatinya,” ujar kementerian itu.
Ia juga mendapati syarikat itu gagal memastikan semua pekerja yang melakukan kerja penyelenggaraan mesin diberikan latihan dan arahan yang mencukupi terlebih dahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg