Sebuah ruang pejabat di pusat bandar Johor Bahru akan berfungsi sebagai ibu pejabat bagi pengendali Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru-Singapura (RTS Link) yang akan datang.
Dalam perkembangan terbaru bagi perkhidmatan kereta api rentas sempadan itu, RTS Operations (RTSO), syarikat yang dilantik untuk mengendalikan laluan kereta api tersebut, secara rasmi membuka pejabat korporat baru mereka di bangunan Menara JLand pada 5 Februari.
Ia terletak berhampiran dengan pusat pemeriksaan Johor Bahru di Jalan Wong Ah Fook.
RTSO berkata laluan kereta api sepanjang 4 kilometer itu dijangka siap menjelang akhir 2026, lapor The Straits Times.
Kerja menyediakan aset operasi bagi perkhidmatan pengangkutan itu hampir 45 peratus siap, kata Pengerusi RTSO, Datuk Khairil Anwar Ahmad. Aset itu termasuk trek, kereta api dan sistem rel.
RTSO turut menyatakan di media sosial bahawa pejabat barunya menegaskan komitmen untuk berpusat di Johor Bahru dan menjayakan projek tersebut.
Apabila siap kelak, laluan transit rel ringan itu akan dapat menampung sehingga 10,000 orang sejam dalam setiap arah antara Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, sekali gus mengurangkan kesesakan di Koswe.
Berucap semasa pembukaan pejabat baru RTSO, Datuk Khairil berkata RTS Link akan memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan karbon dan berfungsi sebagai pemangkin untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebuah zon untuk perniagaan dan pelaburan.
Beliau juga menyatakan bahawa lokasi pejabat tersebut dipilih “secara strategik” untuk memantau dengan rapat kemajuan projek rel itu.
RTSO, usaha sama antara SMRT Singapura dan Prasarana Malaysia, dilantik pada 2020 untuk mengendalikan RTS Link selama 30 tahun.
Pegawai kanan daripada RTSO, SMRT, Prasarana dan MRT Corp hadir pada pembukaan pejabat tersebut pada 5 Februari.
Berdasarkan rekod perniagaan, RTSO mempunyai modal berbayar sekitar $410.7 juta, dengan Prasarana memegang 52 peratus saham dan SMRT memegang 48 peratus saham.
RTSO akan memiliki, merancang, membina dan membiayai aset operasi untuk RTS Link.
Pada November 2024, dilaporkan bahawa RTSO akan diberikan akses secara berperingkat ke struktur sivil RTS Link untuk memulakan pemasangan sistem utama. Struktur tersebut termasuk stesen, terowong, jejambat, dan depot.
Pembangunan itu berlaku selepas pembinaan prasarana di kawasan Singapura yang dikendalikan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) disiapkan lebih daripada 80 peratus.
Pembinaan prasarana di kawasan Malaysia, yang dikendalikan oleh MRT Corp, telah siap 93 peratus pada November 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg