Walaupun Singapura dan Indonesia telah maju dalam mengurus kepelbagaian, usaha berterusan penting bagi mengekalkan keharmonian sosial dan ia tidak boleh dipandang remeh, ujar Pengerusi Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF), Encik Janadas Devan.
“Kedua-dua negara kita sangat berbilang budaya, namun saya rasa tiada negara yang patut berasa bahawa kita sudah tiba ke destinasi.
“Namun, saya tidak fikir kita harus menganggap mengurus kepelbagaian itu mudah, atau bahawa keharmonian yang dicapai bersifat kekal dan tidak memerlukan usaha lanjut,” kata beliau, yang juga Pengarah Institut Pengajian Dasar (IPS).
Beliau berkata demikian semasa majlis makan malam sempena pelancaran Program Hubungan Dua Hala dan Dialog Antara Budaya bagi Pertumbuhan dan Pemerkasaan (BRIDGE), yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City pada 12 Januari.
Program kepimpinan belia anjuran SIF ini, yang julung-julung kali diadakan, telah mengumpulkan 30 pemimpin belia - 16 dari Singapura dan 14 dari Indonesia.
Dengan tema “Memupuk Perpaduan Sosial dalam Masyarakat Berbilang Budaya”, program ini bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai cabaran sosial, mengukuhkan persefahaman, dan membina jalinan hubungan rakyat-ke-rakyat yang bermakna.
Ia berlangsung selama lima hari, dari 12 hingga 16 Januari.
Sekitar 60 tetamu, termasuk peserta dan rakan kongsi program, menghadiri majlis makan malam tersebut.
Ketua Misi Kedutaan Indonesia di Singapura, Encik Thomas Ardian Siregar, turut memeriahkan majlis makan malam itu.
Mengulas lebih lanjut, Encik Devan menekankan peri pentingnya kepimpinan belia dalam merapatkan jurang perbezaan, menangani isu polarisasi, dan membentuk masyarakat yang lebih inklusif.
Ini amat penting sedang masyarakat berhadapan dengan cabaran yang semakin rumit dalam memelihara keharmonian dan persefahaman.
“Polarisasi pandangan, penyebaran maklumat palsu, dan peningkatan perpecahan sosial adalah antara ancaman yang boleh melemahkan ikatan kepercayaan yang menyatukan masyarakat.
“Dalam keadaan sebegini, peranan pemimpin belia kian genting. Sebagai belia, anda membawa keterbukaan, kreativiti, dan keberanian - sifat-sifat penting untuk meredah perbezaan dan membina masyarakat yang lebih mesra dan inklusif,” ujar beliau.
Sepanjang program BRIDGE itu, peserta akan menjelajah Singapura, menyusuri pelbagai tempat untuk melihat bagaimana perpaduan sosial dipupuk.
Mereka akan menyertai lawatan berjalan kaki yang dikendalikan oleh hab perusahaan sosial The Foundry ke kawasan kejiranan Selegie-Prinsep, dan melawat Galeri Harmoni dalam Kepelbagaian di Maxwell Road.
Di samping itu, peserta juga akan menyertai lawatan berpandu melalui estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Toa Payoh.
Menurut SIF dalam kenyataan media pada 12 Januari, ini bertujuan untuk memberi pemahaman kepada peserta tentang peranan perintis HDB dalam membentuk institusi masyarakat dan kehidupan seharian yang menjadi tunjang Singapura moden.
Ini di samping bengkel dan sesi perbincangan panel yang mendalami teras perpaduan dari kanta belia, sambil merintis laluan untuk menyemai kepimpinan belia yang inklusif demi masa depan yang terjamin.
“Perbincangan ini bukan sekadar pertukaran pengetahuan. Ia juga merupakan peluang untuk kita saling mengenali serta merenung bagaimana setiap daripada kita, dalam lingkungan peranan masing-masing, dapat saling membantu dan memperkukuh jalinan sosial yang menyatukan masyarakat kita yang berbeza,” kongsi Encik Devan.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengenai hala tuju program BRIDGE selepas ini, pengerusi SIF itu membayangkan bahawa program tersebut mungkin bakal melebarkan sayapnya ke negara fokus lain, bukan hanya terbatas kepada Indonesia.
“Program BRIDGE pada masa ini direka sebagai inisiatif dua hala yang berdiri sendiri.
“Selepas edisi sulung ini, kami akan menilai hasil dan nilai pembelajarannya, serta meneroka peluang untuk melibatkan negara fokus tambahan,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg