Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Forum bangun keupayaan masyarakat Muslim luar negara bakal dilancarkan

Forum bagi Masyarakat Gemilang Serantau dimulakan pada 2025
Apr 4, 2025 | 8:20 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman memetik gambar swafoto bersama dengan menteri dan Anggota Parlimen (AP) semasa Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific. Bersamanya (ikut putaran jam, dari kiri) AP GRC Pasir-Ris Punggol, Encik Sharael Taha; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (baju hijau); AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (baju merah); dan AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman memetik gambar swafoto bersama dengan menteri dan Anggota Parlimen (AP) semasa Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific. Bersamanya (ikut putaran jam, dari kiri) AP GRC Pasir-Ris Punggol, Encik Sharael Taha; AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat; Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad (baju hijau); AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat (baju merah); dan AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin. - Foto BH oleh KHALID BABA

Program amalan terbaik yang bertujuan memupuk masyarakat Muslim Singapura yang gemilang akan diperluaskan kepada golongan minoriti beragama Islam di luar negara.

Ini akan dilakukan apabila Forum bagi Masyarakat Gemilang Serantau atau COSP 2.0 dimulakan pada 2025.

Forum tersebut akan melengkapkan peserta dari Kemboja, Filipina dan Thailand dengan pengetahuan serta keupayaan yang dipelajari di Singapura dan disesuaikan mengikut konteks tempatan mereka sendiri, umum Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Antaranya peserta luar negara akan dilengkapkan dengan pengetahuan dan keupayaan mengendalikan program khususnya bagi pembangunan masyarakat di masjid; pembangunan keluarga, melalui program Bersamamu yang dikendalikan oleh Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM); dan program pementoran belia dan kepimpinan masyarakat.

Berkongsi demikian semasa Perjumpaan Hari Raya Menteri 2025 di Hotel Pan Pacific pada 4 April, Encik Masagos berkata:

“Baru-baru ini, saya bertemu dengan rakan-rakan sejawat, menteri-menteri dari Filipina, Kemboja dan Thailand.

“Mereka amat berminat dengan perkembangan Masyarakat Gemilang kita, dan mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama lebih erat dengan Singapura – khususnya dalam program pertukaran pengetahuan dan pembangunan keupayaan.

“Saya berharap kerjasama ini bakal membantu masyarakat minoriti Islam Kemboja, Filipina, dan Thailand sama menjadi Masyarakat Gemilang mereka sendiri, dalam usaha mereka mencapai keamanan dan kemajuan.”

Bertemakan Masyarakat Gemilang, Masa Depan Cemerlang, perjumpaan tersebut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat; Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; serta sekitar 500 pemimpin masyarakat, asatizah, rakan kongsi masyarakat, selain pemimpin antara agama.

Selain itu COSP 2.0 juga memberi peluang kepada para sukarelawan setempat untuk ke luar negara seperti Kemboja, Filipina dan Thailand bagi menjalankan program-program membina keupayaan di negara-negara tersebut, dengan kerjasama rakan kongsi seperti Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF).

“Program-program ini akan dilaksanakan bagi sukarelawan masyarakat Melayu/Islam kita dilatih, supaya mereka berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat serantau dengan lebih efektif,” kata Encik Masagos.

Beliau menambah, peluang untuk menawarkan biasiswa atau program amali kepada para pelajar Islam di peringkat menengah dari ketiga-tiga negara untuk melanjutkan pelajaran mereka di madrasah-madrasah Singapura, juga sedang diteroka.

Menurut Encik Masagos lagi, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan mengajurkan Perbincangan Meja Bundar Wakaf di bawah Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), pada akhir 2025.

“Sedang masyarakat kita terus berkembang, kita harus cuba merentas apa juga sempadan atau batasan dan memikirkan keperluan kita sekarang dan jangka panjang.

“Ini supaya institusi keagamaan kita seperti masjid dan madrasah berkekalan dan mampan.

“Sumbangan anda kepada WMS, tidak kira kecil atau besar, adalah sadaqah jariyah yang akan menjana pahala berkekalan hingga ke akhirat, InsyaAllah,” kata Encik Masagos.

Para ulama tempatan dan antarabangsa akan diundang bagi membincangkan pentadbiran wakaf yang inovatif untuk disesuaikan dengan konteks yang berkembang dalam masyarakat hari ini, tambahnya lagi.

Beliau turut berkongsi beberapa sorotan utama bagi lima tahun akan datang.

Ia termasuk panel penasihat bagi Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan bersidang di Singapura buat kali pertama pada Jun.

Antara lain, Muis juga akan mengadakan Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang ketiga pada 2026.

Selain itu, Taman Warisan Melayu (MHC) dan Masjid Sultan pula akan mempamerkan warisan budaya Melayu dan Islam menjelang 2027, yang memaparkan perubahan di kawasan Kampong Gelam.

SCIS juga akan membuka pintunya dan mengalu-alukan kumpulan pertama pelajarnya pada 2028, dan Tanjong Katong Complex akan dibuka semula pada 2029, kata Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg