Pengetua sekolah dari Hong Kong yang tular kerana memaki hamun pengawal keselamatan di Safra Jurong, Singapura, pada Mei lalu, akhirnya dipecat selepas peletakan jawatannya ditolak.

Lee Cheuk Hing, pengetua Sekolah Menengah San Wui Commercial Society, cuba meletakkan jawatan pada 28 Mei susulan insiden itu, dengan tarikh akhir ditetapkan pada 31 Ogos.

Bagaimanapun, pada 3 Jun, pihak sekolah menolak permohonan tersebut dan bertindak memecat beliau serta-merta, lapor South China Morning Post (SCMP).

Jawatankuasa pengurusan sekolah menegaskan bahawa mengekalkan Lee sehingga 31 Ogos akan menggugat operasi sekolah serta mengganggu rutin harian guru dan pelajar.

“Ini merupakan pemecatan serta-merta Encik Lee dan penarikan semua tugas beliau di sekolah,” katanya.

Pihak sekolah menyifatkan tindakan kesat Lee semasa lawatan itu sebagai pelanggaran etika profesional. Sebagai pemimpin institusi, beliau sewajarnya menunjukkan teladan yang lebih tinggi kepada masyarakat.

Pengurus sekolah, Edmund Wong Chun-sek, optimis kejadian tersebut tidak akan menjejaskan pencarian pengganti.

“Saya percaya satu insiden terpencil tidak akan menghalang para pendidik yang berdedikasi untuk memohon jawatan ini,” ujarnya, menambah bahawa keputusan itu diambil demi kepentingan dan kesejahteraan pelajar.

Susulan insiden tersebut, Kesatuan Sekerja Pekerja Keselamatan (USE) pada 30 Mei mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk penderaan terhadap anggota keselamatan.

USE berkata pihaknya telah mengunjungi Safra Jurong bagi menyatakan sokongan kepada pegawai keselamatan yang terlibat, yang menyifatkan kejadian itu sebagai mencabar.

Menurut USE, tindakan tegas pengawal itu menghalang kanak-kanak turun di jalan utama yang sibuk telah menyelamatkan keadaan. Tindakan tersebut mencegah 23 kenderaan daripada melakukan pusingan tajam yang berbahaya, sekali gus mengelakkan risiko kemalangan.

USE berkata walaupun berdepan keadaan sukar itu, pegawai terbabit kekal tabah dan terus menjalankan tugas secara profesional demi keselamatan pengunjung.

Kesatuan itu menegaskan bahawa pegawai keselamatan melindungi nyawa dan harta benda, dan tidak seharusnya menjadi mangsa penderaan ketika menjalankan tugas.

Menurut media Hong Kong, HK01, kira-kira 35 pelajar dan beberapa guru berada di Singapura bagi lawatan sambil belajar ekonomi dan teknologi dari 20 hingga 24 Mei ketika kejadian berlaku.

Dalam video tular itu, Lee dilihat bertengkar dengan dua pegawai keselamatan Safra wanita, menyuruh mereka “diam”, memaki hamun dalam bahasa Kantonis dan mengejek mereka.

Kedua-dua wanita itu kedengaran meminta bas bergerak ke belakang, namun Lee menyuruh mereka “diam”, memaki hamun dalam bahasa Kantonis, membuat muka mengejek dan mencabar mereka menaiki bas itu.

Seorang wanita yang berdiri di belakangnya cuba menariknya bagi meredakan keadaan, namun Lee menjerit supaya tidak menghalang jalannya.

Pada 26 Mei, SCMP melaporkan Lee telah digantung tugas sebelum meletakan jawatannya pada 28 Mei.