Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki pernah dijel gesa kematian Puan Halimah hadapi tuduhan baru
Lelaki pernah dijel gesa kematian Puan Halimah hadapi tuduhan baru
Lelaki pernah dijel gesa kematian Puan Halimah hadapi tuduhan baru
Seorang lelaki yang dipenjarakan pada 2025 kerana menggesa kematian Presiden ketika itu, Puan Halimah Yacob, kini berdepan enam pertuduhan tambahan setelah didakwa melakukan kesalahan baharu selepas dibebaskan.
Pada 24 April, Vickreman Harvey Chettiar, 35 tahun, didakwa atas satu pertuduhan mencederakan, dua pertuduhan gangguan, dan tiga pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai polis.
Warga Singapura itu kini berdepan lapan pertuduhan, termasuk dua yang dihadapinya sewaktu hadir di mahkamah pada Mac.
Mengikut pertuduhan terbaharu, dia didakwa menendang lutut kanan seorang wanita di sebuah pavilion di Taman Kejiranan Yishun, sekitar 7.30 pagi pada 3 Mei 2025.
Empat hari kemudian, Vickreman yang berada di wad Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) didakwa meludah ke arah tiga anggota polis serta memaki hamun dua daripadanya.
Sebelum ini, dia telah didakwa atas satu pertuduhan mencederakan dan satu pertuduhan gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan munasabah.
Penilaian jaminan bagi kes ini akan diadakan pada 7 Mei.
Bagi setiap pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai polis, pesalah boleh dipenjarakan sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya.
Seseorang yang didapati bersalah atas kesalahan gangguan boleh dipenjarakan sehingga setahun, didenda sehingga $5,000, atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Dalam kes melibatkan Puan Halimah dan seorang hakim wanita, Vickreman dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan 12 minggu pada Februari 2025 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan gangguan.
Dia juga mengaku bersalah atas satu pertuduhan memalsukan bukti.
Sebanyak 14 pertuduhan lain, termasuk beberapa pertuduhan gangguan, telah dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Vickreman memuat naik hantaran di Instagram pada 30 April 2023 yang menyeru kematian Puan Halimah.
Tindakannya itu berpunca daripada rasa terkilannya terhadap pelaksanaan hukuman mati ke atas pengedar dadah, menurut prosiding mahkamah terdahulu.
Hantaran yang dapat dilihat umum itu telah dimaklumkan kepada pihak polis oleh seorang individu.
Selepas didakwa berhubung hantaran itu, Vickreman memberitahu seorang pegawai polis dia ingin menikam seorang hakim wanita yang pada ketika itu mengendalikan kesnya.
