Mulai suku pertama 2026, hanya pengguna dengan sijil keperluan perubatan diizin menggunakan skuter mobiliti.
Ia adalah salah satu daripada peraturan baru alat bantuan pergerakan peribadi (PMA), yang akan dilaksanakan selepas perundangan diluluskan, untuk meningkatkan keselamatan laluan pejalan kaki, terutama bagi pengguna dalam golongan yang terdedah, seperti kanak-kanak dan warga emas.
Demikian dikongsi Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 5 Mac.
“Hanya mereka yang mempunyai keperluan perubatan sebenar akan dibenarkan menggunakan skuter mobiliti.
“Sejak 2024, kami telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk karyawan kesihatan, untuk membangunkan proses pensijilan.
“Kementerian Kesihatan (MOH) akan berhubung dan menyediakan garis panduan kepada masyarakat perubatan sebelum pelaksanaan. Keperluan untuk pensijilan ini tidak terpakai untuk pengguna kerusi roda bermotor,” kata Encik Baey.
Beliau menambah, pengguna PMA boleh berjumpa dengan doktor biasa atau doktor perubatan umum (GP) mereka untuk menjalani Penilaian Skuter Mobiliti (AMS) mulai suku keempat 2025.
Mereka yang telah ditetapkan dengan skuter mobiliti yang disubsidi oleh Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas, dan Dana Mobiliti Warga Emas (SMF), di bawah Agensi Penjagaan Bersepadu, atau Dana Teknologi Bantu (ATF), di bawah SG Enable, sebelum AMS dimulakan, akan diiktiraf secara automatik.
“Kami akan memberikan masa kepada pengguna untuk mendapatkan pensijilan, dan pegawai penguatkuasa akan berinteraksi serta mendidik pengguna mengenai peraturan baru semasa tempoh peralihan ini.
“Pengguna tidak perlu berjumpa dengan karyawan kesihatan untuk mendapatkan pensijilan pada masa ini.
“Sila tunggu untuk maklumat lanjut yang akan dikeluarkan pada suku ketiga 2025,” kongsi Encik Baey.
Selain itu, had laju untuk menunggang PMA di laluan awam akan dikurangkan daripada 10 kilometer sejam kepada 6 kilometer sejam.
Beliau akur bahawa pengguna yang sah mungkin memiliki PMA yang boleh mencapai 10 kilometer sejam, mengikut peraturan semasa.
“Kami akan membenarkan PMA dengan had laju peranti sehingga 10 kilometer sejam digunakan di laluan awam sehingga akhir 2028.
“Namun, ia mesti digunakan dengan selamat dalam had laju baru iaitu 6 kilometer sejam dan mematuhi had dimensi akan datang,” jelas Encik Baey.
Beliau turut berkata platform penghantaran telah memberikan jaminan bahawa mereka akan terus bersifat terangkum di platform mereka dari segi pembahagian kerja dan pengurusan jangkaan pelanggan.
Ia bagi mengurangkan kebimbangan bahawa had kelajuan yang dikurangkan akan menjejas pendapatan sesetengah pengguna PMA yang sah.
Dalam pada itu, had dimensi PMA di laluan awam serta pengangkutan awam juga akan diselaraskan, dengan ukuran lebar tidak melebihi 70 sentimeter, panjang 120 sentimeter, tinggi 150 sentimeter dan berat 300 kilogram, mulai suku pertama 2026.
Akan menjadi satu kesalahan untuk memaparkan, mengiklan dan menjual PMA melebihi had dimensi, atau dengan had kelajuan peranti melebihi 6 kilometer sejam.
Berdasarkan semakan dengan beberapa peruncit, ramai yang sudah berhenti menjual PMA serupa, atau sedang menghabiskan stok.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg