Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengguna DBS PayLah! kini boleh bayar melalui aplikasi di lebih 100 juta peniaga di seluruh China
Pengguna DBS PayLah! kini boleh bayar melalui aplikasi di lebih 100 juta peniaga di seluruh China
Perluasan perkhidmatan pembayaran DBS itu dilaksanakan selepas peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung ke China selepas pandemik.
Pengguna DBS PayLah! kini boleh bayar melalui aplikasi di lebih 100 juta peniaga di seluruh China
Warga Singapura yang melancong ke China kini boleh membuat pembayaran kod QR menerusi aplikasi DBS PayLah! di lebih 100 juta lokasi peniaga tanpa yuran urus niaga tambahan.
Dalam kenyataan pada 12 November, DBS Bank berkata pengguna boleh membuat pembayaran di lokasi rakan niaga Alipay dan Weixin Pay, termasuk peruncit popular seperti Pop Mart dan Songmont, serta kedai dan restoran kejiranan.
Menurut DBS, langkah itu menjadikannya bank tempatan pertama yang menyokong ketiga-tiga rangkaian pembayaran kod QR utama China, termasuk UnionPay yang sudah bekerjasama dengannya.
Penyepaduan itu membolehkan pengguna melakukan urusniaga kod QR dua hala di rangkaian peruncitan utama dengan kadar pertukaran mata wang yang bersaing tanpa yuran tambahan.
Pengguna boleh mengimbas kod QR peniaga atau menjana kod untuk diimbas peniaga. Sebelum mengesahkan pembayaran, mereka boleh menyemak jumlah dalam mata wang China renminbi, kadar pertukaran dan nilai sepadan dalam dolar Singapura.
Perluasan perkhidmatan itu menyusuli peningkatan perjalanan ke China selepas pandemik.
Menurut Pentadbiran Imigresen Kebangsaan China, pelawat asing melakukan 11.6 juta perjalanan ke negara itu dari Julai hingga September, meningkat 15.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Singapura antara 10 negara utama bagi ketibaan pelawat asing sepanjang tempoh tersebut, menurut agensi itu.
DBS berkata perluasan tersebut memenuhi permintaan tempatan yang semakin meningkat untuk melancong ke China.
“Pembayaran penting untuk meneroka segala tawaran China, terutama ketika minat pelanggan terhadap ‘China-maxxing’ terus meningkat,” kata Ketua Kumpulan Perbankan Pengguna DBS Singapura, Encik Calvin Ong.
“China-maxxing” ialah trend, khususnya dalam kalangan generasi muda, yang semakin menggemari dan mengamalkan aspek budaya serta gaya hidup China.
Beliau berkata kerjasama dengan syarikat teknologi kewangan Ant International dan TenPay Global membolehkan urus niaga tanpa peniaga China perlu mengubah sistem pembayaran semasa.
Di luar China, DBS turut menyepadukan aplikasinya dengan rangkaian pembayaran serantau, termasuk DuitNow Malaysia, PromptPay Thailand dan QRIS Indonesia.
Pada Oktober, DBS memperluas penggunaan PayLah! di Taiwan, membolehkan pembayaran di lebih 250,000 lokasi yang memaparkan label Taiwan QR Code.
Dalam kenyataan 12 November itu, DBS turut mengumumkan dua tawaran pulangan tunai dari 16 November hingga 31 Januari 2027 bagi pembayaran kod QR luar negara.
Pengguna yang membuat pembayaran kod QR pertama di luar negara menerusi aplikasi itu boleh menerima pulangan tunai sehingga $3 tanpa menetapkan perbelanjaan terendah di China, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Taiwan.
Tawaran itu meliputi perkhidmatan baharu Alipay dan Weixin Pay di China serta perkhidmatan sedia ada di empat negara lain.
Pengguna juga boleh menerima pulangan tunai $3 bagi urus niaga kod QR Alipay pertama dengan perbelanjaan sekurang-kurangnya $6.
Mereka yang memenuhi kededua syarat boleh menggabungkan tawaran untuk menikmati pulangan tunai sehingga $6 bagi satu transaksi.