Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengerusi DBS Peter Seah bakal serahkan jawatan kepada Anthony Lim
Keuntungan bersih DBS susut 5 peratus kepada $2.81 bilion pada suku ketiga 2026, akibat pendapatan dagangan yang lebih rendah dalam keadaan pasaran saham yang tidak menggalakkan, dan gagal mencapai ramalan penganalisis sebanyak $2.95 bilion.
Pengerusi DBS Peter Seah bakal serahkan jawatan kepada Anthony Lim
DBS Group mengumumkan bahawa pengerusinya, Encik Peter Seah, 80 tahun, akan bersara menjelang akhir 2026 selepas 16 tahun menerajui bank terbesar Singapura itu.
Ahli lembaga pengarah, Encik Anthony Lim, akan menggantikannya mulai 1 Januari 2027, manakala Encik Seah dilantik sebagai penasihat kanan selama setahun.
DBS memuji kepimpinan Encik Seah dalam memacu perubahan digital dan pertumbuhan perniagaan yang membawa pulangan tinggi.
Bank itu menambah bahawa beliau turut mengukuhkan hubungan DBS dengan warisannya dan memainkan peranan penting dalam membentuk budaya organisasi yang berteraskan matlamat penubuhannya, mengutamakan pelanggan serta menggalakkan inovasi.
Dalam surat penghargaan bertarikh 4 November, pemegang saham utama DBS, Temasek, menyifatkan sumbangan Encik Seah sebagai “amat besar dan berkekalan”.
Surat yang ditandatangani pengerusi Temasek, Encik Teo Chee Hean, dan Ketua Eksekutifnya (CE), Encik Dilhan Pillay Sandrasegara, mengetengahkan perubahan DBS sejak Encik Seah menjadi pengerusi pada Mei 2010.
Sepanjang tempoh itu, beliau berhasrat menjadikan DBS bank pilihan di Asia bagi “Asia Baharu” menerusi strategi sembilan perkara yang berteraskan kerendahan hati untuk berkhidmat dan keyakinan untuk memimpin.
Menurut Temasek, 16 tahun kemudian, cita-cita itu bukan sahaja tercapai, malah melangkaui sasaran.
Sejak 2010, permodalan pasaran DBS meningkat lebih enam kali ganda daripada sekitar $35 bilion kepada lebih $200 bilion, manakala keuntungan bersih tahunannya melonjak daripada $2.65 bilion kepada $11 bilion pada tahun kewangan 2025.
Menurut Temasek,Jumlah pulangan terkumpul pemegang saham, termasuk dividen dan saham bonus, melebihi 1,000 peratus sepanjang tempoh itu, bersamaan pulangan tahunan terkompaun lebih 16 peratus.
Encik Seah turut menyokong pelaburan awal dalam perubahan digital di bawah mantan Ketua Eksekutif (CE), Encik Piyush Gupta, ketika hanya segelintir bank bersedia melabur secara besar-besaran dalam kewangan, teknologi dan tenaga kerja yang diperlukan.
Pelaburan ini membantu DBS meraih pengiktirafan Bank Digital Terbaik Dunia oleh Euromoney pada 2016.
Encik Gupta berkata: “Kepimpinan Peter menjadi tonggak kejayaan DBS sepanjang 16 tahun lalu. Beliau memacu perubahan budaya kami, menyuntik keyakinan untuk bertindak berani dan melabur demi masa depan. Sebagai pengerusi, beliau bijak mengimbangi bimbingan kepada pihak pengurusan dengan memberi kami ruang untuk menjalankan tugas dengan cemerlang. Tiada rakan kerjasama dan pembimbing yang lebih baik daripada beliau.”
Di bawah kepimpinannya, DBS memperluas perniagaan serantau melalui beberapa perolehan strategik bagi memperkukuhkan kedudukannya di rantau ini termasuk perniagaan perbankan swasta serantau Societe Generale, perbankan pengguna dan pengurusan kekayaan ANZ di Asia, perbankan pengguna Citi di Taiwan serta Lakshmi Vilas Bank di India.
Bank itu turut memperluas pembiayaan mampan, dengan tanggungan pembiayaan belum selesai melebihi $100 bilion, serta menjadi yang pertama di Asia Tenggara menetapkan sasaran pengurangan pelepasan karbon mengikut sektor berasaskan sains.
Encik Seah berkata dunia baru sahaja mula pulih daripada krisis kewangan dunia ketika beliau menyandang jawatan pengerusi DBS.
Encik Seah berkata beliau yakin menyerahkan kepimpinan kepada Encik Lim selepas peralihan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) kepada Cik Tan Su Shan.
Encik Lim, 68 tahun, menganggotai lembaga pengarah DBS sejak April 2020 dan pernah memegang jawatan kanan di GIC serta Bankers Trust dengan pengalaman bertugas di Singapura, London dan New York.
Menurut DBS, pandangan luas beliau tentang dunia, pengalaman mendalam dalam pasaran kewangan dan kepakaran pengurusan risiko menjadikan beliau sesuai membantu bank itu mengharungi persekitaran operasi yang semakin rumit.
Temasek yakin Encik Lim dan Cik Tan mampu meneruskan kejayaan DBS berasaskan asas kukuh yang dibina Encik Seah dan Encik Gupta.
Temasek turut menekankan peranan Encik Seah dalam mengawasi peralihan kepimpinan daripada Encik Gupta kepada Cik Tan, yang disifatkan sebagai hasil usaha pembangunan bakat terancang selama lebih sedekad, bukan sekadar pertukaran kepimpinan.
Menurut Temasek, Encik Seah turut membentuk lembaga pengarah yang berani mengajukan soalan sukar serta menjalin hubungan dengan pihak pengurusan berasaskan kepercayaan dan keterbukaan.
Kerjasama selama 15 tahun antara Encik Seah dengan Encik Gupta membuktikan bagaimana pengerusi dan ketua eksekutif saling menyerlahkan keupayaan terbaik masing-masing serta institusi yang diterajui.
Encik Seah menyertai lembaga pengarah DBS pada 16 November 2009 dan menggantikan Encik Koh Boon Hwee sebagai pengerusi pada 1 Mei 2010.
Sebelum itu, beliau menjadi presiden dan ketua eksekutif Singapore Technologies Group dari 2001 sehingga syarikat itu bergabung dengan Temasek pada Disember 2004.
Beliau sebelum itu menghabiskan sebahagian besar kerjaya perbankannya di Citibank dan Overseas Union Bank (OUB), sebelum menjadi ketua eksekutif OUB pada 1991.
Beliau bersara pada September 2001 selepas OUB bergabung dengan United Overseas Bank.
DBS mencatat keuntungan bersih $2.81 bilion bagi suku ketiga 2026, susut 5 peratus daripada $2.95 bilion setahun lalu akibat pendapatan dagangan pasaran yang lebih rendah.
Keuntungan itu tidak mencapai ramalan purata $2.95 bilion berdasarkan tinjauan Bloomberg terhadap lapan penganalisis.
Bagi tempoh sembilan bulan, jumlah pendapatan meningkat 2 peratus kepada $17.9 bilion, manakala keuntungan bersih bertambah 2 peratus kepada $8.82 bilion.
Pendapatan faedah bersih kumpulan meningkat 4 peratus berbanding setahun lalu kepada $3.71 bilion.
Margin faedah bersih kumpulan merosot sembilan mata asas kepada 1.87 peratus.
Pendapatan bersih daripada yuran meningkat 6 peratus kepada $1.43 bilion, disokong pertumbuhan pengurusan kekayaan.
Yuran pengurusan kekayaan meningkat 9 peratus kepada $864 juta daripada paras yang sudah tinggi setahun lalu, disokong pertumbuhan aset di bawah pengurusan. Yuran perkhidmatan urus niaga mencatat paras tertinggi baharu, manakala yuran berkaitan pinjaman dan kad turut meningkat.
Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen pada suku ketiga sebanyak 81 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sembilan bulan $2.43 sesaham, terdiri daripada dividen biasa $1.98 sesaham dan dividen pemulangan modal 45 sen sesaham.
Cik Tan berkata pertumbuhan kukuh pinjaman, deposit dan aset pengurusan kekayaan menyokong prestasi bank meskipun kadar faedah menurun dan ketidaktentuan politik sejagat meningkat.
Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan mencapai paras tertinggi, manakala pulangan atas ekuiti mencecah 17 peratus, meskipun Purata Kadar Faedah Semalaman Singapura (Sora) – penanda aras utama bagi kos pinjaman - telah berkurangan separuh berbanding setahun lalu dan ketidaktentuan politik sejagat semakin meningkat.
“Prestasi ini mencerminkan keupayaan kami merebut peluang pertumbuhan jangka panjang dalam bidang pengurusan kekayaan dan perbankan institusi.”
Bagi suku kedua 2026, keuntungan bersih DBS meningkat 9 peratus kepada paras tertinggi sebanyak $3.08 bilion, didorong perniagaan pengurusan kekayaan, jualan produk perbendaharaan dan pendapatan dagangan bagi merangsang pertumbuhan.