Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengguna kerusi roda warga emas dijel cabul wanita sindrom Down

Nov 29, 2024 | 2:04 PM
Omar Aziz menawarkan mangsa $2 dan minta mangsa mengikutnya ke sudut terpencil di bahagian utara Singapura lalu mencabulnya tidak lama kemudian.
Omar Aziz menawarkan mangsa $2 dan minta mangsa mengikutnya ke sudut terpencil di bahagian utara Singapura lalu mencabulnya tidak lama kemudian. - Foto ST

Pada 10 Oktober 2023, seorang lelaki warga emas menghampiri seorang wanita yang menghidap sindrom Down dan mencabul kehormatannya selepas menawarkan $2 untuk memujuk mangsa menjauhi kawasan awam.

Pihak pendakwaan menyifatkan kes itu sebagai “tindakan eksploitasi yang amat membimbangkan dan tercela”.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Cik Adelle Tai berkata wanita berusia 24 tahun itu adalah mangsa yang “sangat rentan” dengan tahap kecerdasan otak (IQ) 40.

Menurut laman web Institut Kesihatan Mental (IMH), IQ 70 atau lebih rendah menunjukkan kekurangan upaya intelek.

Pada 28 November, Hakim Daerah John Ng berkata kes ini melibatkan “individu rentan yang mengambil kesempatan ke atas mangsa yang lebih rentan”.

Oleh itu, pengguna kerusi roda tersebut, Omar Aziz, 70 tahun, dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan.

Omar sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul kehormatan, lapor The Straits Times.

Maklumat tentang mangsa dan tempat tinggalnya pada waktu kejadian tidak boleh didedahkan kerana perintah sekatan bagi melindungi identiti mangsa.

DPP Tai berkata wanita itu sedang berjalan ke stesen MRT di bahagian utara Singapura sekitar 4 petang apabila Omar, yang ketika itu menggunakan alat mobiliti peribadi (PMD), mendekatinya.

Dia menawarkan $2 kepada mangsa dan meminta mangsa mengikutnya ke sudut terpencil.

Wanita itu bersetuju dan Omar mencabulnya tidak lama kemudian.

Mangsa pulang ke rumah selepas kejadian dan memberitahu pembantunya tentang apa yang berlaku.

Pembantu rumah itu kemudian memaklumkan kepada ibu bapa mangsa dan bapanya kemudian membuat laporan polis pada hari yang sama.

Pihak berkuasa berjaya mengesan Omar dan pegawai polis memberkasnya pada 11 Oktober 2023.

Pada 28 November, DPP Tai menggesa Hakim Ng menjatuhkan hukuman penjara sekurang-kurangnya 16 bulan, sambil menambah bahawa Omar telah mengambil kesempatan atas “kekurangan mangsa... untuk memuaskan nafsu. Tindakan sebegini sangat menjijikkan dan tercela”.

Peguam bela, Encik Mohamed Arshad, memohon agar Omar dijatuhkan hukuman penjara selama 10 bulan, sambil menekankan bahawa tertuduh menyesali perbuatannya.

Dalam rayuan, peguam daripada firma guaman Fernandez itu juga menyatakan bahawa anak guamnya menghidap penyakit jantung dan mengalami masalah tulang belakang.

Omar kini dibebaskan dengan ikat jamin $15,000 dan dijangka memulakan hukuman penjara pada 12 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg