Pengguna PMA perlu ada Sijil Keperluan Perubatan mulai 1 Jun
Pengguna PMA perlu ada Sijil Keperluan Perubatan mulai 1 Jun
Baey Yam Keng: Pengecualian bagi yang berumur 70 tahun dan ke atas, mereka yang berada di bawah skim bantuan pemerintah.
Pengguna alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) perlu mempunyai Sijil Keperluan Perubatan yang sah untuk menunjukkan mereka benar-benar mempunyai masalah mobiliti bagi mencegah penyalahgunaan.
Ini termasuk kerusi roda manual dengan alat tambahan bermotor yang boleh ditanggalkan yang dikemudi oleh hendal, apabila Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan diluluskan di Parlimen.
Perubahan yang dijangkakan bermula 1 Jun itu akan mengecualikan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas, serta penerima bantuan skuter mobiliti bersubsidi dan mereka yang berada di bawah skim kurang upaya Kementerian Kesihatan (MOH).
Berucap di Parlimen pada 3 Februari semasa bacaan kedua rang tersebut, Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata terdapat keperluan yang semakin meningkat untuk memastikan PMA digunakan dengan selamat dan bertanggungjawab.
Ini memandangkan penduduk semakin menua dengan lebih ramai orang yang perlu menggunakan PMA.
“Kita menghadapi trend membimbangkan di mana individu yang berkemampuan menyalahgunakan skuter mobiliti,” kata Encik Baey.
“Walaupun peranti ini merupakan pengganti untuk berjalan kaki, sesetengahnya menunggang pada kelajuan tinggi di laluan, atau mengendalikan peranti besar yang membahayakan pengguna laluan lain, terutamanya warga emas dan kanak-kanak kecil.”
“Ahli Dewan, kumpulan orang kurang upaya, dan orang ramai secara konsisten menyeru agar peraturan PMA diperketatkan dan peningkatan keselamatan laluan dipertingkatkan,” tambah beliau.
PMA adalah skuter mobiliti yang digunakan oleh individu yang disahkan mempunyai keperluan perubatan yang berkaitan, dan hanya mempunyai satu tempat duduk.
Peranti mobiliti peribadi (PMD) pula biasanya mempunyai lebih daripada satu tempat duduk untuk pembonceng, dan mesti diperiksa, memenuhi piawaian keselamatan UL2272, dan didaftarkan dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Pengguna yang tidak dikecualikan perlu menjalani penilaian dengan doktor perubatan mereka sebelum mereka boleh mendapatkan Sijil Keperluan Perubatan mulai 27 Februari.
Mereka yang telah menerima sijil akan disenaraikan di laman web OneMotoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) yang boleh diakses dengan menggunakan butiran kad pengenalan dan tarikh lahir.
“Kami telah bekerjasama dengan MOH untuk melibatkan sektor penjagaan kesihatan bagi menggalak klinik menawarkan Penilaian bagi Skuter Mobiliti supaya ia tersedia secara meluas.
“Berdasarkan tinjauan kami terhadap klinik, lebih daripada 140 klinik berhasrat untuk menawarkan penilaian tersebut. Pengguna akan mempunyai pilihan untuk membantu memastikan kos berpatutan,” kata Encik Baey.
Menurut tinjauan klinik LTA, Encik Baey berkata bayaran yang dikenakan dijangka antara $20 hingga $150, dengan bayaran median pada kadar $50.
Had laju maksimum untuk semua PMA bermotor yang bergerak di laluan awam juga dikehendaki dikurangkan daripada 10 km/j kepada 6km/j.
Di bawah undang-undang baru itu, PMA yang lebih besar daripada ukuran 120 sentimeter (cm) x 70cm x 150cm atau dengan berat muatan melebihi 300 kilogram, bukan sahaja akan dihadkan daripada pengangkutan awam, tetapi juga pada laluan awam.
“Berbalik kepada niat kami untuk memperkenalkan peraturan ini bagi membendung penyalahgunaan, pegawai penguatkuasa kami akan memberi tumpuan kepada individu yang kelihatan sihat yang menyalahgunakan skuter mobiliti.
“Bagaimanapun, beberapa cabaran mobiliti tidak dapat dilihat, dan saya meminta pemahaman pengguna bahawa pegawai penguatkuasa kami perlu menjalankan tugas mereka dan menyemak pensijilan mereka pada masa-masa tertentu,” kata Encik Baey.
Bagi peranti yang dijual dari 1 Jun, Encik Baey berkata peruncit akan mengendalikan pendaftaran, lantas menyediakan pengalaman yang mudah untuk pengguna.
Pendaftaran juga diperlukan untuk skuter mobiliti yang dipamer, diiklan dan dijual dari 1 Jun untuk memastikan pengguna mendapat peranti yang mematuhi peraturan.
Namun bagi mereka yang mempunyai skuter mobiliti sedia ada, mereka akan diberi lebih banyak masa untuk mendaftar mulai pertengahan 2027.
Mulai 1 Januari 2029, adalah menjadi satu kesalahan untuk menggunakan skuter mobiliti yang tidak berdaftar di laluan awam, dan hanya peruncit sahaja yang boleh mendaftarkan skuter mobiliti baru.
“Saya tahu ramai pengguna mungkin mahu tergesa-gesa mendaftarkan peranti mereka sebelum peraturan tersebut. LTA akan menyertakan pautan tinjauan di laman webnya untuk pengguna menunjukkan minat mereka dalam pendaftaran.
“Ini akan membantu kami menyediakan sumber dengan lebih baik untuk stesen pendaftaran bergerak,” kata Encik Baey.
Setelah rang undang-undang itu diluluskan, ia juga akan menjadi satu kesalahan untuk menyimpan alat mobiliti peribadi (PMD) yang tidak memenuhi piawaian keselamatan UL2272 mulai 1 Jun.
Buat masa ini, adalah satu kesalahan untuk menunggang skuter elektronik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan UL2272 di laluan awam atau jalan raya, namun ia bukan satu kesalahan untuk menyimpannya.
Mereka yang ingin membuang PMD yang tidak memenuhi piawaian keselamatan UL2272 boleh melakukannya di pengitar semula sisa elektronik yang ditetapkan atau melalui kempen pengumpulan sisa elektronik yang dianjurkan oleh ALBA E-waste Smart Recycling.
Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda sehingga $2,000 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya, untuk individu, atau denda sehingga $4,000 untuk kes lain.

