Pengguna PMA sokong langkah ketat agar laluan lebih selamat
Pengguna PMA sokong langkah ketat agar laluan lebih selamat
Penghantar makanan bimbang ia bakal jejas sumber pendapatan
Pengguna alat mobiliti, terutama warga emas yang menggunakan Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) yang ditemui Berita Harian (BH) pada 5 Februari, berkata undang-undang baru mengenai penggunaan alat mobiliti akan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pihak.
Namun, mereka yang menggunakan PMA sebagai alat mata pencarian mereka bimbang had kelajuan yang ditetapkan bakal menjejas pendapatan mereka sebagai pekerja penghantaran makanan.
Undang-undang baru itu, yang diluluskan di Parlimen pada 4 Februari, antara lain memerlukan pengguna skuter mobiliti mendapatkan sijil keperluan perubatan mulai 1 Jun, dengan warga emas berumur 70 tahun dan ke atas dikecualikan dan had laju PMA dikurangkan dari 10 kilometer sejam (km/j) kepada 6km/j.
Di samping itu, PMA yang melebihi dimensi 120 cm panjang, 70 cm lebar dan 150 cm tinggi serta mempunyai berat muatan melebihi 300 kg tidak dibenarkan di pengangkutan dan laluan awam.
Tambahan pula peruncit hanya dibenarkan mengiklankan, mempamerkan dan menjual skuter mobiliti serta peranti setara dengannya yang telah didaftarkan.
Cik Sadiah Isnin, 74 tahun, yang telah menggunakan PMA selama lebih setahun, berkata beliau tidak terlalu risau dengan perubahan yang diluluskan kerana PMA miliknya menepati kriteria baru yang ditetapkan.
Beliau juga telah mendapat pengesahan doktor serta mengikuti kelas memandu PMA di Hospital Kwong Wai Shu.
Namun begitu, beliau mengakui pengurangan had laju boleh menyukarkan perjalanan jarak jauh, namun akur keselamatan perlu menjadi tanggungjawab bersama.
“Berdasarkan pengalaman saya, ramai pejalan kaki asyik lihat telefon bijak dan tidak peka terhadap pengguna PMA seperti saya. Mereka perlu faham juga yang kami tak boleh memandu di jalan raya,” katanya.
Pandangan positif terhadap undang-undang baru itu turut dikongsi oleh Cik Rina Halik, 55 tahun, yang menggunakan PMA atas nasihat doktor akibat masalah jantung.
PMA membolehkannya kembali berdikari, termasuk keluar bersendirian, bertemu rakan dan menguruskan keperluan harian.
“Saya gunakan PMA demi kesihatan dan kesejahteraan saya. Jadi ia menakutkan apabila ada pengguna PMA yang memandu dengan laju sangat. Ia sangat bahaya,” katanya.
Selepas membaca tentang peraturan baru, Cik Rina segera menyemak model PMA miliknya dengan doktor bagi memastikan beliau tidak perlu mendapatkan peranti baru.
Bagi Encik Ismail Mohamed Nasir, 80 tahun, yang telah menggunakan PMA selama sekurang-kurangnya empat tahun, undang-undang baru itu juga tidak menimbulkan kebimbangan.
PMA beliau dan isterinya diperoleh melalui Hospital Besar Singapura (SGH) selepas mendapatkan sijil perubatan yang diperlukan.
“Kerana kami mendapatkan PMA melalui wadah yang betul, saya tidak risau akan kena denda,” katanya.
Isterinya, Cik Awiyah Jailani, 68 tahun, turut menyambut baik langkah tersebut dan percaya undang-undang baru itu dapat meningkatkan keselamatan serta mengelakkan penyalahgunaan PMA.
Namun, tidak semua pengguna berkongsi keyakinan yang sama.
Encik Mohd Affandie Ali, 60 tahun, merupakan bekas pekerja pembersihan yang beralih kepada tugas selaku penghantar makanan.
“Saya rasa hilang arah. Tak tahu apa nak buat sekarang,” katanya, sambil menambah PMA memberinya kebebasan serta sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Menurut Encik Shahful Kamalrulzaman Ahamad, 42 tahun, peraturan baru PMA pada asasnya bertujuan baik, namun diperkenalkan agak lewat setelah penggunaan peranti tersebut berleluasa.
Ramai pengguna PMA dan PMD, khususnya dalam sektor penghantaran makanan, bergantung kepada peranti itu sebagai sumber rezeki, ujar beliau.
“Ini telah menjadi periuk nasi mereka. Ia merupakan pendapatan yang membantu menyara keluarga dan membiayai keperluan harian,” katanya.
Pada masa yang sama, Encik Shahful menegaskan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan.
Beliau sering menasihatkan pengguna dalam masyarakatnya supaya memakai topi keledar dan mematuhi peraturan asas keselamatan ketika menggunakan peranti beroda.
“Tak kira dua atau empat roda, keselamatan mesti diutamakan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa menyediakan kawasan atau laluan khas yang dibenarkan untuk penggunaan PMA dan PMD.
Menurutnya, pendekatan lebih adil dan konsisten dapat membantu melindungi pengguna yang mematuhi undang-undang, khususnya mereka yang mempunyai kelulusan perubatan, sambil memastikan keselamatan orang awam terjamin.
Perniagaan industri mobiliti berkata kesan peraturan baru ini terhadap pembekal peranti berkenaan mungkin tidak dapat dilihat dengan serta-merta.
Syarikat peranti mobiliti tempatan, Mobot, memaklumkan program tukar beli bagi peranti mobiliti aktif telah dimulakan sejak 2017, dan dipertingkatkan pada 2019 bagi menggalak pengguna melupuskan peranti yang tidak mematuhi piawaian keselamatan seperti UL2272.
Namun menurut Mobot, jumlah tukar beli tidak menunjukkan peningkatan ketara sejak peraturan terbaru diumumkan.
Ini, katanya, disebabkan kebanyakan pengguna PMA yang sah sudah menggunakan peranti yang mematuhi syarat, dan sebahagian daripadanya masih dibenarkan beroperasi sehingga 2028.
Dalam masa yang sama, penunggang yang menggunakan PMA atau PMD yang tidak dibenarkan lazimnya sedar akan ketidakpatuhan tersebut, dan tidak mudah melepaskan peranti mereka.
Mengulas lanjut, Mobot berkata rangka peraturan yang semakin jelas dapat memberi kepastian kepada pengguna dan orang awam.
“Semua peraturan mobiliti aktif ini akan memperjelaskan siapa yang boleh menggunakan peranti ini, bagaimana dan di mana,” ujarnya.
“Ini memberi keyakinan kepada pengguna untuk bergerak tanpa rasa takut, dan membantu mewujudkan laluan awam yang lebih selamat dan beradab pada masa hadapan.”
“
“Berdasarkan pengalaman saya, ramai pejalan kaki asyik lihat telefon bijak dan tidak peka terhadap pengguna PMA (Alat Bantuan Mobiliti Peribadi) seperti saya. Mereka perlu faham juga yang kami tak boleh memandu di jalan raya.”“
“Saya gunakan PMA demi kesihatan dan kesejahteraan saya. Jadi ia menakutkan apabila ada pengguna PMA yang memandu dengan laju sangat. Ia sangat bahaya.”“
“Ini telah menjadi periuk nasi mereka. Ia merupakan pendapatan yang membantu menyara keluarga dan membiayai keperluan harian.”
