Pekerja platform tanpa masalah mobiliti tidak patut guna PMA untuk kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pekerja platform tanpa masalah mobiliti tidak patut guna PMA untuk kerja

Yang sihat perlu alih kepada peranti, kenderaan lain sebelum 1 Jun
Feb 4, 2026 | 9:29 PM

Pekerja platform tanpa masalah mobiliti tidak patut guna PMA untuk kerja

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Yam Keng, Pekerja platform, PMA
Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng, berkata Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) bukanlah mod pengangkutan yang sesuai untuk pekerja platform yang tidak menghadapi cabaran mobiliti. - Foto MDDI

Alat Bantuan Mobiliti Peribadi (PMA) bukanlah mod pengangkutan yang sesuai untuk pekerja platform yang tidak menghadapi cabaran mobiliti, kata Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng.

Berucap di Parlimen pada 4 Februari, Encik Baey berkata hanya pekerja yang mempunyai keperluan mobiliti harus menggunakan PMA untuk pekerjaan mereka.

“Pekerja sedemikian perlu mematuhi had laju dan had dimensi yang dikurangkan untuk keselamatan semua.

“Ini bukan sahaja melindungi pengguna laluan lain, bahkan juga penunggang PMA itu sendiri,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen (AP) Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol) dan Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar).

Semasa perbahasan Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan, mereka telah mengemukakan soalan tentang bagaimana peraturan PMA baru itu mungkin boleh menjejas pekerja penghantaran platform.

Bagi pekerja platform yang tidak menghadapi cabaran mobiliti, Encik Baey berkata mereka tidak seharusnya menyalahgunakan PMA dan harus beralih kepada peranti atau kenderaan lain sebelum 1 Jun.

Beliau menambah pemerintah telah berbincang dengan Persatuan Industri Platform Digital (DPIA) dan Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) pada 2025, dan mereka telah menyatakan sokongan terhadap peraturan PMA baru, termasuk had laju 6 kilometer sejam (km/j).

“Platform-platform itu telah komited untuk bersikap inklusif dalam memperuntuk pekerjaan dan menyediakan peluang pendapatan untuk individu daripada pelbagai latar belakang.

“Ini termasuk mereka yang mempunyai cabaran mobiliti yang bergantung pada PMA untuk kerja penghantaran mereka,” kata Encik Baey.

Semasa ucapannya, Encik Baey juga menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa AP lain seperti Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) dan Cik Lee Hui Ying (GRC Nee Soon) tentang kos untuk menjalani Penilaian bagi Skuter Mobiliti (AMS).

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada poliklinik akan menawarkan khidmat penilaian itu, dan sama ada subsidi akan dilanjutkan.

Dalam jawapannya, Encik Baey berkata semua doktor, termasuk doktor poliklinik, dibenarkan menjalankan Penilaian bagi Skuter Mobiliti.

Bagaimanapun beliau menambah doktor mungkin enggan menilai pengguna yang bukan pesakit tetap mereka, bergantung pada tahap keselesaan doktor untuk menjalankan pensijilan.

Pada masa yang sama, Encik Baey berkata pemerintah juga telah melibatkan sektor penjagaan kesihatan untuk menggalak klinik perubatan umum (GP) menawarkan perkhidmatan tersebut supaya ia boleh diperolehi dan diakses secara meluas.

Bagi mereka yang berjumpa doktor semata-mata untuk mendapatkan Sijil Keperluan Perubatan, Encik Baey berkata kumpulan ini tidak akan diberikan subsidi penjagaan kesihatan untuk lawatan mereka.

“Walau bagaimanapun, selagi pesakit mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada doktor atau pakar terapi pekerjaan (OT) di institusi penjagaan kesihatan awam atau organisasi penjagaan masyarakat... dan Penilaian bagi Skuter Mobiliti dijalankan sebagai bahagian proses klinikal daripada penjagaan perubatan biasa mereka, episod penjagaan keseluruhan, termasuk penilaian itu, boleh diberikan subsidi penjagaan kesihatan,” kata Encik Baey.

Semasa perbahasan dua hari itu, beberapa AP turut bertanya bagaimana keperluan perubatan akan dinilai untuk membolehkan penggunaan skuter mobiliti.

Dalam jawapannya, Encik Baey berkata Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengeluarkan garis panduan untuk karyawan penjagaan kesihatan menjalankan penilaian tersebut, yang merangkumi senarai keadaan yang mungkin berlaku.

Beberapa contoh termasuk penyakit kardiovaskular seperti kegagalan jantung yang serius dan gangguan muskuloskeletal seperti distrofi otot dan artritis reumatoid.

Cik He Ting Ru (GRC Sengkang) dan Encik Cai Yinzhou (GRC Bishan-Toa Payoh) juga bertanya sama ada pengguna akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mematuhi peraturan baru yang akan berkuat kuasa pada 1 Jun.

Dalam jawapannya, Encik Baey berkata sudah hampir dua tahun sejak langkah itu diumumkan pada Mac 2024, dan pemerintah telah menerima seruan lantang untuk melaksanakan peraturan tersebut dengan pantas bagi meningkatkan keselamatan laluan.

“Pihak berkepentingan yang terjejas, termasuk peruncit dan pengguna, telah mempunyai masa untuk menukar kepada peranti yang mematuhi piawaian, sebelum peraturan PMA berkuat kuasa pada 1 Jun.

“Tetapi kami akan menyediakan lebih banyak masa, sehingga 1 Januari 2029, untuk pengguna skuter mobiliti sedia ada mendaftarkan peranti mereka, dan menukar kepada peranti yang mematuhi kelajuan peranti maksimum baru iaitu 6km/j,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg