Apabila Cik Azula menemui sepasang kanta lekap kelabu berharga kurang $8 yang ditawarkan di kedai dalam talian, beliau terus membelinya tanpa berfikir dua kali.
Lagipun, beliau telah memakai kanta lekap lebih 10 tahun dan pernah membeli kanta dalam talian sebelum ini.
Tetapi selepas beberapa jam memakainya, Cik Azula, 24 tahun, pencipta kandungan sepenuh masa yang enggan memberikan nama penuhnya, berkata beliau mula merasa pedih di kedua-dua belah matanya.
Beliau menanggalkan kanta itu serta-merta dan perasan matanya “merah dan terasa seperti terbakar”.
Kemudian penglihatannya kabur, bola mata bengkak dan ketidakselesaan yang melampau.
Cik Azula, lebih dikenali dengan panggilan ‘Azula Cinta’, berkata: “Saya mahu keluarkan sahaja biji mata saya; ia seperti jarum dimasukkan ke dalam mata saya.”
Cik Azula, yang mempunyai lebih 109,000 pengikut di TikTok, menggunakan aplikasi itu untuk memberi amaran kepada orang ramai.
Dalam video yang dimuatnaikkan pada 18 Mei, telah mendapat 14.7 juta tontonan.
Matanya tampak merah dan berair, serta bahagian putih matanya bengkak.
Beliau berjumpa doktor pada keesokan harinya dan diberitahu reaksinya adalah kerana jangkitan.
Semakan oleh akhbar The Straits Times (ST) mendapati beberapa penjual dari luar negara menyenaraikan kanta sentuh pada harga jauh lebih rendah daripada yang terdapat di kedai optik di sini.
Sebagai contoh, sepasang kanta berwarna coklat, yang diiklankan sebagai tahan selama tiga bulan atau lebih, dijual pada harga $3.60.
Kanta lain pada pelbagai wadah disenaraikan di bawah $10.
Sebagai perbandingan, satu pek 30 kanta harian dengan kuasa, atau ‘power’, jenama Acuvue dijual pada harga kira-kira $37 di kebanyakan kedai optik, manakala kanta harian tanpa kuasa berharga melebihi $15.
Bagi menjawab pertanyaan ST, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berkata kanta lekap yang mempunyai kuasa bertujuan membetulkan masalah penglihatan dan dikawal selia sebagai peranti perubatan.
Semua pengimport dan pemborong juga mesti dilesenkan oleh HSA.
Agensi itu berkata ia telah menerima maklum balas daripada pengguna yang mengalami sakit mata serius dan penglihatan kabur selepas menggunakan kanta sentuh yang tidak berdaftar atau tiruan.
“Perkara terbaik yang boleh kita lakukan ialah tidak memperjudikan pandangan kita. Saya benar-benar bertuah kerana saya tidak menjadi buta,” kata Cik Azula.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg