Beberapa iklan palsu yang menggunakan logo Hospital Besar Singapura (SGH) untuk menjual produk kesihatan kini tersebar luas dalam talian, mendorong hospital tersebut memberi amaran kepada orang ramai mengenai iklan tersebut.
Dalam satu catatan Facebook pada 4 Jun, SGH menyatakan ia dimaklumkan mengenai iklan di beberapa wadah media sosial yang menggunakan logonya untuk memasarkan beberapa produk kesihatan.
Gambar yang disertakan dalam catatan tersebut menunjukkan empat iklan palsu yang memasarkan produk seperti oksimeter nadi dan ubat titisan mata yang dikatakan dapat mengatasi masalah rabun jauh dan astigmatisme.
Astigmatisme adalah masalah kekaburan penglihatan akibat lengkungan pada kanta mata atau kornea yang tidak seragam.
“Iklan palsu dibuat oleh penjenayah siber dengan tujuan menyamar sebagai sesuatu jenama untuk menipu (orang ramai).
“SGH tidak mempromosi, mengiklan atau menyokong mana-mana jenama atau produk selaras dengan Akta Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan,” menurut hospital itu.
SGH menasihatkan mereka yang berminat membeli produk kesihatan secara dalam talian agar berbincang dengan doktor mereka untuk mengetahui sama ada produk berkenaan sesuai untuk mereka.
Mereka juga tidak harus membeli daripada sumber tidak dikenali atau mencurigakan, dan berwaspada agar tidak mudah ditipu oleh dakwaan palsu.
Jumlah kes penipuan di Singapura mencecah rekod tertinggi pada 2023, iaitu sebanyak 46,563 kes yang dilaporkan – jumlah tertinggi sejak polis mula menjejak kes penipuan pada 2016.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg