Penggunaan air isi rumah jatuh kepada 141 liter seorang pada 2025
Penggunaan air isi rumah jatuh kepada 141 liter seorang pada 2025
PUB: Situasi kerja hibrid berterusan, peningkatan suhu, saiz isi rumah semakin kecil terus beri tekanan terhadap penggunaan air
Penggunaan air isi rumah Singapura untuk setiap orang pada 2025 turun sedikit kepada 141 liter air.
Ia merupakan penurunan satu liter berbanding 2024, kata agensi air negara, PUB, pada 17 Mac ketika melancarkan kempen penjimatan air tahunannya sempena Hari Air Sedunia 2026.
Namun, situasi kerja hibrid yang berterusan, peningkatan suhu, dan saiz isi rumah yang semakin kecil terus memberi tekanan terhadap penggunaan air, tambah PUB.
Di bawah Pelan Hijau Singapura 2030, Singapura menyasarkan untuk mencapai penggunaan air isi rumah sebanyak 130 liter setiap orang sehari menjelang 2030.
Penggunaan terendah setiap orang dalam tempoh 10 tahun yang lalu ialah 141 liter, yang direkodkan pada 2025, 2018, 2019 dan 2023.
“Ini menunjukkan usaha penjimatan air di rumah perlu diteruskan, selari dengan usaha meningkatkan kecekapan air dalam sektor bukan domestik, di mana permintaan air dijangka meningkat,” kata PUB.
Bagi membantu isi rumah menjimatkan air, PUB melancarkan program untuk membantu isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), di flat satu hingga tiga bilik terpilih, mengamalkan langkah campur tangan penjimatan air.
Dikenali sebagai Program Penjimat Air SG, inisiatif tersebut merangkumi kerja campur tangan seperti audit air rumah percuma, pembaikan kebocoran dan penggantian kelengkapan yang tidak lagi cekap dalam fungsinya.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 isi rumah dalam dua tahun pertama.
PUB akan beransur-ansur menghubungi isi rumah yang layak untuk berkongsi butiran lanjut.
Berucap semasa pelancaran kempen itu di Suntec City Atrium, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, menekankan keperluan mengguna pakai teknologi penjimatan air agar lebih cekap, serta kepentingan mengurus permintaan air.
Encik Chan menyatakan walaupun Singapura mempunyai teknologi untuk memenuhi keperluan airnya, teknologi tersebut bergantung kepada tenaga.
“Kami telah mengalihkan pergantungan air kami kepada pergantungan tenaga,” katanya.
“Bukan sahaja peperangan dan konflik baru-baru ini yang harus membuatkan kita berfikir tentang cara yang lebih cekap untuk menghasilkan air... Dalam jangka panjang, dengan perubahan iklim, bagaimana untuk mendapatkan tenaga boleh diperbaharui yang mampan adalah cabaran besar bagi Singapura.”
“Jika air telah menjadi cabaran kewujudan kita selama 50 tahun yang lalu, tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan mampan pula akan menjadi cabaran kewujudan kita untuk 50 tahun akan datang,” katanya.
Encik Chan, yang juga Menteri Pertahanan, amat menggalakkan perniagaan supaya menguruskan permintaan air mereka.
Beliau berkata terdapat kelebihan daya saing apabila firma mengubah proses perindustrian mereka agar menjadi lebih cekap air atau kurang intensif air.
Perniagaan juga boleh mengukuhkan kecekapan air melalui langkah seperti semakan penggunaan air secara berkala, mengamalkan teknologi penjimatan air, dan memupuk budaya tempat kerja yang sedar akan penggunaan air.
Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang turut hadir pada acara tersebut, berkata ia adalah strategi “tanpa penyesalan” untuk perniagaan melihat bagaimana mereka boleh mengurangkan penggunaan air dan meningkatkan kecekapan air serta mengurangkan kos.
Jumlah permintaan air Singapura diunjurkan hampir berganda menjelang 2065, dengan sektor bukan domestik menyumbang sekitar dua pertiga daripada permintaan, meningkat daripada kira-kira 55 peratus pada 2026, kata PUB.

