Berbekalkan dua alat pemadam api, Encik Zakee Zulkifli cuba mengawal kebakaran yang menjilat sebuah lori sampah secara bersendirian di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) menghala Ekspreswe Pantai Marina (MCE) sebelum susur keluar Tuas Road pada 22 April.
Beliau mengambil masa lebih kurang lima minit untuk mengawal kebakaran. Hasil tindakan ayah tiga anak itu, api itu berjaya dikawal sebelum merebak atau menjadi lebih besar.
Atas bantuan dan keberanian yang ditonjolkan, Encik Zakee, 35 tahun, baru-baru ini menerima Anugerah Penggerak Balas Pertama Masyarakat Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) daripada Timbalan Pengarah Jabatan Perkongsian Masyarakat dan Sukarelawan SCDF, Kolonel (COL) Bob Tan.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon, penyelia penghantaran syarikat bersama Declarators Pte Ltd itu berkata:
“Saya sedang naik motor dan trafik bergerak amat perlahan. Saya nampak asap tebal di susur keluar Tuas Road di lorong paling kiri.
“Pada waktu itu, saya sedang dalam perjalanan dari Corporation Road ke Pusat Bandar untuk menghantar dokumen.
“Saya terlihat lori terbakar. Memandangkan saya tahu kawasan ini dengan baik, saya keluar dari ekspreswe untuk ke bangunan berhampiran bagi mendapatkan alat pemadam api sebelum kembali ke lokasi.”
Encik Zakee, yang telah empat tahun bekerja dengan syarikat itu, akur beliau rasa takut kerana pertama kali berhadapan dengan situasi sedemikian.
Beliau bimbang letupan boleh juga berlaku pada bila-bila masa tetapi beliau tetap ingin cuba mengawal kebakaran seberapa mungkin.
“Mujur saya masih ingat cara guna alat pemadam api daripada latihan asas semasa menjadi anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF),” ujarnya, yang merupakan anggota tentera sebagai NSF.
Encik Zakee menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai bonus kerana beliau hanya lakukan apa yang mampu sebelum kebakaran itu menjadi lebih berbahaya.
“Saya tak fikir pun pasal anugerah. Lepas api dipadamkan, saya teruskan dengan urusan kerja. Saya tak beritahu keluarga saya mengenai kejadian itu sebenarnya,” selorohnya.
Dalam satu respons kepada BH, SCDF berkata ia dimaklumkan tentang kebakaran tersebut sekitar 11.50 pagi pada 22 April.
Kebakaran tersebut berjaya dipadam oleh orang awam sebelum ketibaan SCDF di lokasi dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
SCDF menambah punca kebakaran masih dalam siasatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg