Topik diikuti
Pergi ke BHkuPenghantar makanan ‘terpaksa’ ubah suai AMD demi tambah pendapatan
Penghantar makanan ‘terpaksa’ ubah suai AMD demi tambah pendapatan
Penghantar makanan ‘terpaksa’ ubah suai AMD demi tambah pendapatan
Mengubah suai alat mobiliti aktif (AMD) supaya mencapai kelajuan 200 kilometer sejam (kmh) dan menggunakan bateri lebih berkuasa supaya ia tahan lebih lama sebelum perlu dicas, melanggar undang-undang di sini.
Namun sekumpulan penghantar makanan memberitahu Berita Harian (BH) mereka masih berbuat demikian kerana ‘tiada pilihan lain’ untuk menambah pendapatan harian.
Mereka mendakwa dapat menambah pendapatan sehingga dua, tiga kali ganda sehari jika mereka boleh menunggang dengan lebih laju.
Bateri lebih berkuasa pula membolehkan mereka mengurangkan kekerapan mengecas AMD masing-masing, membolehkan mereka membuat penghantaran tanpa berhenti beberapa kali.
Berdasarkan tinjauan BH, seorang penghantar makanan di Singapura biasanya menempuh jarak sekitar 50 hingga 100 kilometer sehari.
Manakala, bagi yang membuat lebih penghantaran boleh menempuh jarak lebih 100 kilometer dalam sehari.
Lazimnya, dalam sehari, penghantar makanan dapat meraih pendapatan antara $90 dengan $150.
Jason (bukan nama sebenar), 27 tahun, yang bertugas sebagai penghantar makanan sepenuh masa, memberitahu BH beliau boleh menghantar makanan tanpa putus selama 10 jam jika tidak perlu mengecas AMD.
Ini berbanding tempoh penghantaran maksimum empat hingga lima jam sebelum perlu mengecas AMD yang tidak diubah suai.
AMD yang tidak diubah suai biasanya memerlukan masa mengecas dua hingga enam jam, mengikut jenis bateri.
Beliau telah mengubah bateri, motor dan alat pengawal AMD miliknya.
“Jika tidak berbuat begini, saya boleh menggunakan AMD selama empat hingga lima jam saja sebelum guna pengecas... kini saya boleh bekerja dari 10 pagi hingga hari selanjutnya,” ujar beliau.
AMD yang diubah suai itu boleh mencecah kelajuan hingga 120 kmh.
Namun, Jason mendakwa beliau hanya menunggang dengan kelajuan 30 kmh untuk menghantar makanan.
AMD merangkumi alat mobiliti peribadi (PMD), basikal menggunakan kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).
Sebahagian besar pekerja penghantaran menggunakan PMD – yang turut merangkumi skuter elektronik – dan PAB.
Ada juga pekerja penghantaran, berdasarkan keadaan kesihatan mereka, menggunakan PMA yang dihadkan kepada kelajuan 6 kmh.
Singapura telah mempertingkat undang-undang ke atas penggunaan PMD dan PMA sejak 1 Jun 2026.
Adalah satu kesalahan untuk memiliki PMD yang tidak mempunyai piawaian UL2272 sejak tarikh tersebut.
Selain menepati piawaian UL2272, PMD yang digunakan di sini perlu berdaftar dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan tidak dibenarkan melebihi kelajuan 25 kmh, berat 20 kilogram dan lebar 70 sentimeter.
Antara lain, undang-undang tersebut bertujuan menangani risiko kebakaran yang ditimbulkan oleh peranti yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.
Susulan pelaksanaan undang-undang PMD dan PMA yang diperketat itu, Persatuan Penyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) berkata ia komited membantu pekerja penghantaran yang terjejas termasuk dari segi kewangan.
Penggunaan PMD di laluan awam atau jalan raya sememangnya sudah menyalahi undang-undang pada masa ini.
Individu bawah 16 tahun tidak dibenarkan menunggang PMD tanpa diawasi seorang dewasa yang sekurang-kurangnya berusia 21 tahun.
Setiap penunggang juga perlu melaksanakan ujian teori wajib sebelum dibenarkan membawa PMD dan peranti mereka juga harus menjalani pemeriksaan LTA setiap dua tahun.
Akid (bukan nama sebenar), 24 tahun, seorang penghantar makanan yang menggunakan AMD yang diubah suai, berkata pendapatannya bertambah selepas mengubah suai kenderaannya supaya bergerak lebih laju.
AMD yang digunakannya kini mampu mencapai kelajuan 200 kmh.
“Kalau dahulu, saya hanya boleh membuat dua hingga tiga penghantaran dalam sejam.
“Kini, saya boleh membuat sebanyak tujuh atau lapan penghantaran dalam sejam,” ujarnya.
Beberapa lagi penghantar makanan yang menggunakan AMD telah diubah suai dan dihubungi BH, bersependapat.
Walau sedar perbuatan mereka melanggar undang-undang, mereka berkata mereka ‘terpaksa’ kerana ingin menambah pendapatan dan akan terus mencari jalan berbuat demikian.
Jason, bapa seorang anak, berkata AMD miliknya pernah disita dua kali oleh pihak berkuasa, iaitu pada 2024 dan 2025.
Namun, beliau tetap membeli AMD baru dan mengubah suai kenderaan itu.
“Saya tahu salah, tapi saya nak jaga periuk nasi saya,” kata beliau.
“
“Jika tidak berbuat begini (mengubah suai AMD miliknya), saya boleh menggunakan alat mobiliti aktif (AMD) selama empat hingga lima jam saja sebelum guna pengecas... kini saya boleh bekerja dari 10 pagi hingga hari selanjutnya.”