AP sokong perketat syarat penggunaan alat mobiliti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP sokong perketat syarat penggunaan alat mobiliti

Kos, kesan terhadap pekerja platform antara keprihatinan dibentangkan
Feb 3, 2026 | 8:31 PM

AP sokong perketat syarat penggunaan alat mobiliti

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
LTA, alat bantuan mobiliti peribadi, PMA, rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan
Penguatkuasaan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dibuat ke atas skuter mobiliti yang tidak mengikut piawaian. - Foto ZAOBAO

Perbahasan mengenai rang undang-undang yang antara lain bertujuan memperketat syarat penggunaan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) di Parlimen pada 3 Februari menarik penyertaan Anggota Parlimen (AP) daripada kededua bahagian Dewan yang menimbulkan keprihatinan mengenai penguatkuasaan, kesan ke atas mata pencarian pekerja dan lain-lain lagi.

Seramai 19 AP menyertai perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan tersebut, yang antara lain, akan mewajibkan pengguna mempunyai Sijil Keperluan Perubatan yang sah sebelum mereka boleh menggunakan PMA.

Ia juga bertujuan mengurangkan had laju alat sedemikian daripada 10 kilometer sejam (k/j) kepada 6km/j.

Encik Foo Cexiang (GRC Tanjong Pagar), Encik Ng Shi Xuan (GRC Sembawang), Cik Yeo Wan Ling (GRC Punggol) dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) membangkitkan kebimbangan tentang kos dan akses untuk mendapatkan Sijil Keperluan Perubatan bagi pengguna PMA.

Dr Wan Rizal, yang juga mewakili pergerakan buruh meminta penjelasan sama ada penilaian untuk Sijil Keperluan Perubatan boleh dilakukan di poliklinik bagi membantu mengurus kos dan memastikan kebolehcapaian.

Encik Foo pula membangkitkan kebimbangan bahawa pengamal perubatan yang berbeza mungkin mempunyai amalan yang berbeza dalam menentukan keperluan dan bertanya bagaimana Kementerian Kesihatan (MOH) akan memastikan amalan klinikal yang sama.

“Kami ingin memastikan mereka yang mempunyai masalah mobiliti sebenar akan mendapat pensijilan dengan kerumitan yang minimum.

“Tetapi sebaliknya, kami juga berharap dalam membuat penilaian, pengamal tidak menggalakkan sikap terlalu bergantung pada alat mobiliti, bagi mereka yang masih boleh bergerak secara bebas,” kata Encik Foo.

Satu lagi keprihatinan lain yang dibangkitkan oleh Cik Tin Pei Ling (GRC Marine Parade-Braddell Heights), yang juga pengerusi Jawatankuasa Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk Pengangkutan adalah berkenaan langkah penguatkuasaan.

Mengalu-alukan langkah rang undang-undang untuk mengehadkan kelajuan PMA, Cik Tin berkata penguatkuasaan yang kukuh adalah penting untuk mencapai objektif rang undang-undang tersebut.

“Penguatkuasaan semasa adalah mencabar. Pegawai tidak boleh berada di merata tempat.

“Bagaimanakah pemerintah akan memperkukuh kapasiti penguatkuasaan?” kata Cik Tin.

“Adakah lebih banyak kamera akan dipasang dan bolehkah rangkaian kamera kita menyokong pemantauan pintar dan masa nyata untuk mengenal pasti dan bertindak (memberi amaran atau mengeluarkan notis) terhadap penunggang PMA yang tidak mematuhi peraturan dengan lebih cepat?”

Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied) dan Cik Yeo pula meluahkan kebimbangan mereka terhadap kesan pengurangan had laju untuk PMA daripada 10km/j kepada 6km/j ke atas pekerja platform.

Memetik Cik Farhana Ahmad Mashon, Setiausaha Agung Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), Cik Yeo berkata pendapatan boleh jatuh sebanyak 30 hingga 40 peratus di bawah had laju 6km/j jika insentif dan keadaan kerja tidak diselaraskan.

Menambah, Cik Yeo berkata rakan kongsi platform komited dan bersetuju secara prinsip untuk menyemak semula sasaran penghantaran dan aturan kerja untuk pengguna PMA sepenuh masa, supaya penambahbaikan keselamatan tidak menjejas mata pencarian.

“Saya juga menggesa pemerintah untuk bekerjasama rapat dengan pengendali platform bagi memantau kesan pascapelaksanaan dan bersedia untuk menawarkan sokongan peralihan yang disasarkan jika kerumitan timbul,” kata Cik Yeo.

Encik Fadli, dari Parti Pekerja (WP), berkata pengurangan kelajuan dijangka akan menjejaskan mata pencarian pekerja platform yang menggunakan PMA untuk penghantaran dengan ketara.

“Kita mesti berhati-hati agar tidak secara sengaja menyebabkan kesusahan kepada rakyat Singapura yang bergantung pada alat ini untuk keperluan mereka.

“Ramai individu sebegini kini menggunakan kenderaan mobiliti untuk mencari rezeki, termasuk menyiapkan penghantaran makanan dan bungkusan, untuk syarikat platform seperti Grab,” kata beliau.

Sementara itu, sebahagian AP juga mempersoalkan keberkesanan dan konsistensi penguatkuasaan, terutamanya mengenai PMA laju, alat mobiliti yang tidak mematuhi peraturan dan pengesanan alat mobiliti yang tidak selamat di rumah.

Isu-isu lain yang dibahaskan termasuk isu keselamatan kebakaran, terutamanya mengenai skuter elektronik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan UL2272.

Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) dari WP menyokong pindaan untuk menjadikan pemilikan PMD yang tidak memenuhi piawaian keselamatan UL2272 sebagai satu kesalahan, dengan memetik kebakaran yang dahsyat dan kecederaan parah di kawasan undinya.

Encik Jackson Lam (GRC Nee Soon) dan Cik Poh Li San (GRC Sembawang) pula menekankan kepentingan memastikan peraturan tidak menyebabkan kesusahan atau memperdalamkan lagi ketidaksamaan bagi mereka yang bergantung pada alat mobiliti.

Perbahasan rang undang-undang itu akan disambung semula pada 4 Februari dengan lima AP lain dijadualkan untuk memberikan ucapan mereka sebelum Dewan memutuskan sama ada untuk meluluskan rang undang-undang itu.

“Penguatkuasaan semasa adalah mencabar. Pegawai tidak boleh berada di merata tempat. Bagaimanakah pemerintah akan memperkukuh kapasiti penguatkuasaan?Adakah lebih banyak kamera akan dipasang dan bolehkah rangkaian kamera kita menyokong pemantauan pintar dan masa nyata untuk mengenal pasti dan bertindak (memberi amaran atau mengeluarkan notis) terhadap penunggang PMA yang tidak mematuhi peraturan dengan lebih cepat?”
Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights, Cik Tin Pei Ling.

“Sebagai gerakan pekerja, NTUC memandang serius kesan pelaksanaan peraturan ini terhadap kehidupan seharian para pekerja. Melalui penglibatan berterusan di lapangan, NTUC dan persatuan pekerja seperti National Delivery Champions Association telah bertemu para penghantar di tempat mereka bekerja dan berehat, mendengar secara langsung kebimbangan tentang pendapatan, kos pematuhan dan perubahan rutin kerja.”
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga merupakan AP pekerja.

“Sebagai seorang doktor yang sedang berkhidmat, saya menyokong hasrat untuk memastikan peranti mobiliti yang bertujuan untuk kegunaan perubatan ditujukan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya. Ini melindungi keselamatan awam dan memelihara kepercayaan terhadap sistem tersebut. Kita harus sedar akan kesan praktikal terhadap profesional penjagaan kesihatan dan pesakit terutamanya yang mempunyai batasan mobiliti sementara.”
Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg