Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penghubung Taman Jurong Town Hall perluas koridor alam semula jadi

Aug 31, 2024 | 7:05 PM
Penghubung Taman Jurong Town Hall menambah kepada sembilan kilometer laluan hijau sedia ada di Koridor Alam Semula Jadi Clementi yang boleh diakses orang ramai.
Penghubung Taman Jurong Town Hall menambah kepada sembilan kilometer laluan hijau sedia ada di Koridor Alam Semula Jadi Clementi yang boleh diakses orang ramai. - Foto ST

Penghubung Taman Jurong Town Hall yang baru akan dibuka pada September sebagai sebahagian projek menghubungkan semua laluan hijau di kawasan barat dan tengah Singapura bagi keperluan rekreasi.

Sekitar dua kilometer Penghubung Taman Jurong Town Hall – sepanjang Jurong Town Hall Road dan Ekpreswe Ayer Rajah (AYE) – akan menyediakan laluan langsung antara Koridor Rel dan Taman Tasik Jurong.

Laluan sementara akan disediakan jika penghubung taman itu terjejas dek kerja berkaitan rel dan pembetungan.

Laluan tersebut sebahagian daripada Koridor Alam Semula Jadi Clementi, iaitu rangkaian hijau untuk rekreasi sepanjang 18 kilometer yang diumumkan oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 2021.

Pembukaan penghubung taman itu menambah kepada laluan hijau sepanjang sembilan kilometer – termasuk bahagian 500 meter Jejak Alam Semula Jadi Clementi, Penghubung Taman Ulu Pandan dan Koridor Rel – yang buat masa ini boleh diakses orang ramai.

Ini menjadikan keseluruhan rangkaian laluan hijau yang boleh diakses pengunjung berjumlah 11 kilometer mulai September.

Berucap semasa satu acara menanam pokok pada 31 Ogos, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata: “Koridor ini akan memberi rakyat Singapura lebih banyak peluang rekreasi, sambil membolehkan mereka lebih dekat dengan alam semula jadi.”

Koridor Alam Semula Jadi Clementi – salah satu koridor ekologi di bawah Latihan Pemprofilan Ekologi (EPE) kendalian NParks – juga akan mengukuhkan lagi kesinambungan ekologi bagi hidupan liar antara Hutan Simpanan Bukit Timah dan Southern Ridges, tambah Encik Lee.

Satu lagi projek utama di bawah Koridor Alam Semula Jadi Clementi ialah Jejak Alam Semula Jadi Jurong Line Lama, yang akan memulakan fasa pertama pembangunannya dalam tiga bulan pertama 2025.

Fasa ini merangkumi nod komuniti baru berhampiran Faber Walk, yang menampilkan ruang tempat duduk dan taman permainan alam semula jadi.

Laluan tersebut akan mengekalkan ciri-ciri laluan Kereta api Jurong yang lama, menawarkan pengalaman bersejarah dan untuk rekreasi.

“Kami akan memelihara laluan ini untuk ekologi dan rekreasi, dengan sebahagian daripada laluan ini melintasi Hutan Clementi dan Sunset Way Woods,” kata Encik Lee.

Jejak Alam Semula Jadi Laluan Lama Jurong akan dibuka secara bertahap mulai akhir 2026.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg