Seorang penghuni yang terperangkap dalam sebuah flat yang dipenuhi asap di Hougang diselamatkan oleh anggota bomba, selepas mereka memasuki flat yang terbakar itu secara paksa pada 16 Ogos.
Dalam satu catatan Facebook pada 16 Ogos, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 313, Hougang Avenue 5 itu sekitar 12.50 pagi.
Apabila pasukan bomba tiba, mereka mendapati ruang tamu di flat tingkat dua itu terbakar, dan seorang penghuninya terperangkap di dalamnya.
Anggota bomba memasuki flat itu secara paksa, dan menemui penghuni tersebut di dapur.
Mereka membawa mangsa keluar dari flat itu ke tempat selamat sementara anggota bomba yang lain menggunakan jet air untuk memadamkan api.
Menurut SCDF, dua orang dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH), dan seorang lagi dihantar ke Hospital Besar Changi (CGH).
Sekitar 30 orang dari flat-flat berhampiran turut dipindahkan oleh polis sebagai langkah berjaga-jaga, lapor The Straits Times.
SCDF berkata: “Akibat kebakaran itu, seluruh ruang tamu rosak dan ruang lain di unit tersebut mengalami kerosakan disebabkan haba dan jelaga.
“Siasatan awal mendapati kebakaran mungkin bermula dari alat mobiliti peribadi (PMD) yang berada di ruang tamu. Punca kebakaran masih disiasat,” katanya.
SCDF menasihatkan pengguna PMD agar tidak meninggalkan PMD dicas untuk jangka masa panjang, membiarkan bateri alat itu dicas semalaman, atau membeli dan menggunakan bateri bukan asli.
Pada Februari, SCDF mengeluarkan laporan perangkaan tahunannya yang menunjukkan terdapat 1,954 kes kebakaran pada 2023, iaitu kenaikan 8.6 peratus daripada 1,799 kes pada 2022.
Kebakaran melibatkan peranti mobiliti aktif (AMD) seperti alat mobiliti peribadi, basikal menggunakan kuasa (PAB) dan alat bantuan mobiliti peribadi, bertambah 31 peratus kepada 55 kes pada 2023, daripada 42 kebakaran pada 2022.
Perangkaan terkini mendapati kebakaran yang dikaitkan dengan AMD meningkat semula, selepas berkurangan secara berterusan dari 2019 hingga 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg