PPIS komited bangun ekosistem sokongan menyeluruh agar tanggungjawab jagaan jadi amanah bersama
PPIS komited bangun ekosistem sokongan menyeluruh agar tanggungjawab jagaan jadi amanah bersama
Nadia: Wanita perlu dihormati sebagai pemimpin semula jadi di rumah, tempat kerja, dalam masyarakat
Kemajuan bukan bermakna wanita perlu terus memberi lebih daripada diri mereka sendiri, sebaliknya masyarakat perlu memberi penghormatan yang sama rata kepada wanita yang memimpin dengan cara tersendiri, kata Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.
Beliau turut menegaskan kerja penjagaan perlu diiktiraf sebagai satu bentuk pekerjaan yang sebenar.
Menurut Cik Nadia, sifat kepimpinan itu sudah pun jelas dalam kalangan ramai wanita yang disifatkannya sebagai “pemimpin semula jadi” yang memastikan segala urusan berjalan lancar.
“Ramai wanita adalah pemimpin semula jadi — pemimpin di rumah, di tempat kerja dan dalam masyarakat. Wanita sering tahu bila bekalan di dapur hampir habis, apa yang perlu dilakukan seterusnya dan bagaimana memastikan semuanya terus bergerak. Kita memimpin dalam pelbagai cara yang tenang dan tidak menonjol,” katanya.
Demikian ditekankan Cik Nadia semasa berucap pada acara Hari Wanita Antarabangsa (IWD), anjuran PPIS, di The Foundry, 11 Prinsep Link, pada 1 Mac.
Beliau turut menegaskan perlunya diwujudkan ruang sebenar bagi wanita untuk terus menggalas tanggungjawab kepimpinan.
Katanya, ini bukan semata-mata untuk memenuhi kuota, tetapi kerana wanita sememangnya layak diberikan peluang tersebut.
“Jika kita mahu lebih ramai wanita dalam peranan kepimpinan, kita harus menyediakan ruang yang sebenar — bukan sekadar untuk memenuhi kuota, tetapi kerana mereka berhak mendapatkannya,” ujar Cik Nadia.
Acara itu yang bertemakan “Tangan Menghulur, Jiwa Diperkaya” dilakukan sempena Hari Wanita Antarabangsa (IWD) pada 1 Mac.
Menurut PPIS, acara itu meneroka realiti kehidupan wanita dalam menyumbang serta bagaimana sokongan timbal balik membolehkan wanita, keluarga dan masyarakat berkembang secara mampan.
Dalam acara tersebut, sesi perbualan santai telah diadakan bersama Cik Nadia, ibu titipan PPIS Oasis, yang hanya dikenali sebagai Cik Raihana, serta pegawai kerja sosial PPIS Oasis, Cik Atikah Syarah Ismail.
Perbincangan tersebut mengupas sebab wanita terus menyumbang dalam kehidupan seharian, cabaran apabila pemberian menjadi beban emosi atau praktikal, bentuk sokongan yang benar-benar bermakna serta bagaimana tanggungjawab bersama dapat memastikan pertumbuhan yang berterusan.
Acara itu turut diserikan dengan segmen refleksi melalui aktiviti kraf tangan dan mural kolektif yang mengajak peserta merenung bagaimana sokongan boleh dikongsi dalam keluarga dan masyarakat.
Berdasarkan penyelidikan Jabatan Penyelidikan dan Penglibatan (RED) PPIS, wanita yang melalui fasa bergelar sebagai ibu dan kembali bekerja atau menjaga warga emas sering berdepan dengan tanggungjawab bertindih yang menuntut tenaga emosi, fizikal dan mental secara berpanjangan.
Tambah PPIS, banyak sumbangan ini, khususnya kerja emosi dan penjagaan, kekal tidak terlihat meskipun menjadi asas kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Pemberian yang berterusan sukar dikekalkan tanpa sokongan yang jelas dan tersusun.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPIS, Cik Aidaroyani Adam, menegaskan komitmen persatuan itu untuk membina ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh agar tanggungjawab penjagaan dilihat sebagai amanah bersama dan bukan beban yang dipikul wanita semata-mata.
“Perjalanan hidup wanita bukan sahaja dibentuk oleh pilihan peribadi, tetapi juga oleh tuntutan penjagaan, peralihan dalam dunia pekerjaan dan norma sosial. Pemberian berterusan tanpa sokongan mencukupi boleh menghakis kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan ekonomi.
“Di PPIS, kami secara aktif mempromosikan tanggungjawab penjagaan yang dikongsi bersama. Melalui program persediaan perkahwinan dan keibubapaan, kami menampilkan model penjagaan bersama serta pembahagian peranan rumah tangga yang lebih saksama.
“Kami membingkaikan isu penjagaan sebagai amanah bersama — satu tanggungjawab kolektif, bukan jangkaan berasaskan jantina. Kami akan terus memperjuangkan dasar mesra keluarga, keadilan di tempat kerja dan amalan terangkum yang membolehkan wanita berkembang maju secara profesional, peribadi dan dalam masyarakat,” kata beliau.

