Topik diikuti
Pergi ke BHkuPengkaji warisan hasilkan buku sejarah, singkap 1,000 tahun Melayu di S’pura
Pengkaji warisan hasilkan buku sejarah, singkap 1,000 tahun Melayu di S’pura
Setiap kali membaca atau mendengar tentang sejarah kepulauan Melayu, pengkaji warisan, Encik Sarafian Salleh, 56 tahun, mendapati negara atau kota Singapura sering tidak terungkap dan ‘hilang’ dalam perbincangan tersebut.
Namun, beliau menyedari Singapura sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan rantau alam atau kepulauan Melayu.
Lantaran itu, beliau pun tergerak untuk mencatat semula rentetan sejarah tersebut dalam buku karangannya sendiri berjudul ‘1000 Years of Sejarah Melayu in Singapore’ yang bakal dilancarkan pada 12 September di The Pod, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).
Beliau berkata:
“Apabila saya menghadiri perkongsian sejarah Melayu di Malaysia atau Indonesia seumpamanya, saya menyedari masih ramai yang tidak menyerlahkan atau tidak tahu tentang kepentingan peranan Singapura dalam sejarah kepulauan Melayu.
“Sedangkan, apabila saya mengkaji tentang sejarah kaum saya sendiri iaitu Bugis, saya dapati penglibatan Bugis sungguh berkait rapat dengan kewujudan Singapura sejak beberapa zaman dahulu.
“Justeru, ini menunjukkan Singapura ternyata sudah mempunyai bahagian yang cukup penting untuk kita nyatakan dalam sejarah kepulauan Melayu yang lebih luas.
Encik Sarafian juga pengasas Bugis Temasek, anggota Persatuan Genealogi Singapura dan anggota Persatuan Melayu Bugis Singapura.
Menurut Encik Sarafian, dalam sejarah Melayu, Singapura atau Temasek telah wujud sebagai satu kawasan yang penting merentasi pelbagai empayar dan zaman.
“Dari zaman Majapahit, Sriwijaya, Melaka dan Kolonial, Singapura telah menyumbang kepada pembangunan kepulauan Melayu sebagai satu ‘pusat perdagangan’ yang begitu berwarna-warni.
“Maka, dalam setiap zaman dan empayar itu, ia saling bertindan dan terkait dengan keberadaan Singapura.
“Singapura menjadi tempat ‘persinggahan’ bagi pedagang dari seantero dunia dan mempunyai nilainya yang tersendiri.
“Justeru, kelompok manusia atau masyarakat yang terlibat dalam kegiatan perdagangan itu wajar juga kita lihat sebagai ‘pelaku’ atau ‘aktor’ bagi peranan besar Singapura dalam kepulauan Melayu.
Dalam buku yang akan beliau terbitkan, Encik Sarafian mengemukakan satu dapatan kajian baharu yang mengesahkan peranan penting Singapura itu.
Berdasarkan catatan beberapa penjelajah Parsi yang ditemui Encik Sarafian dalam kajiannya, mereka menyifatkan Singapura sebagai ‘Sabana Emporio’.
Dalam pengamatan Encik Sarafian, ‘Sabana Emporio’ itu mungkin merujuk kepada sebuah pusat perdagangan awal yang dikaitkan dengan Temasek atau Singapura, yang terhubung dengan rangkaian maritim yang lebih luas antara Lautan Hindi dan Laut Cina Selatan.
Encik Sarafian mengulas istilah ‘Sabana’ itu pula berkemungkinan mempunyai persamaan dengan maksud syahbandar atau ‘Temenggong’, iaitu pegawai pelabuhan.
“Sering kali apabila kita membaca sejarah Melayu baik dalam teks klasik seperti Sulalatus Salatin atau catatan sejarah kolonial, ia seperti memberi perhatian yang terbatas.
“Sejarah yang telah tertulis itu sekadar mengangkat kepulauan Melayu dengan jolokan ‘Semenanjung Emas’ — kawasan sumber yang kaya dalam menghasilkan emas dan timah.
“Ia kurang dari sudut melihat peranan sebagai pusat perdagangan dan kaitan masyarakat yang berbilang suku seperti kaum Jawa, Bugis, Bawean dan Minang,” jelas jurutera mekanikal itu.
Justeru, sebagai seorang anak jati kaum Bugis di Singapura yang pernah menghasilkan buku sejarah Bugis iaitu Tuah Bugis pada 2023, Encik Sarafian melihat karya baharunya itu sebagai satu penulisan sejarah alternatif yang berbeza dengan sejarah yang pernah dibahaskan sebelum ini.
Menurut beliau, antara elemen menarik yang ditonjolkan juga dalam bukunya ialah hubungan dan kaitan pelbagai kaum seperti Jawa, Bugis, Bawean dan Minang yang telah bertempat di Singapura dan telah menyumbang kepada perkembangan masyarakat Melayu.
Penulisan sejarah ‘baharu’ yang menggariskan rentetan sejarah Singapura sehingga 1,000 tahun lepas itu pula baginya seolah-olah ‘meletakkan kembali Singapura dalam peta kepulauan Melayu’ yang cukup bersejarah.
Meskipun begitu, dengan penghasilan buku tersebut, Encik Sarafian berkata beliau bukan berniat untuk sekadar mengagung-agungkan masa lampau.
Namun, beliau berharap dapat menyuntik rasa kepunyaan dan penghargaan dalam diri masyarakat tatkala membaca tentang keberadaan masyarakat Melayu Singapura sebagai pembentuk sejarah.
Buku tersebut yang dijual dengan harga $48 senaskhah, boleh didapatkan di laman Facebook, Encik Sarafian iaitu Tuah Bugis, atau emel kepada diagnoveritas@gmail.com.
