Seorang usahawan Indonesia yang didakwa terlibat dalam kes rasuah di negara itu dan kini ditahan reman di Singapura telah memohon ikat jamin, sementara menanti prosiding ekstradisi, atau penyerahan balik ke negara asal.
Pada prosiding di Mahkamah Negara pada 13 Mac, Timbalan Peguam Kanan Negara, Cik Sarah Siaw, berkata dokumen bagi permohonan ikat jamin untuk Paulus Tannos, atau Tjhin Thian Po, yang berusia 60-an, telah diserahkan kepada mahkamah pada 11 Mac.
Tannos ditangkap di Singapura pada 17 Januari kerana didakwa terlibat dalam skandal rasuah besar berkaitan projek kad pengenalan elektronik Indonesia, ‘projek e-KTP’.
Dia merupakan presiden dan pengarah Shandipala Arthaputra, sebuah syarikat teknologi yang dianugerahkan kontrak untuk menghasilkan sebahagian daripada e-KTP.
Skandal itu didakwa menyebabkan negara itu kerugian sekitar 2.3 trilion rupiah ($186 juta), lapor The Straits Times (ST).
Pada 10 Mac, Kementerian Undang-Undang (MinLaw) Singapura berkata Indonesia telah memohon ekstradisi Tannos secara rasmi pada 24 Februari.
Cik Siaw berkata beberapa kenyataan di dalam dokumen yang diserahkan oleh peguam Tannos, Encik Bachoo Mohan Singh, memerlukan perincian daripada pihak berkuasa penjara.
Pihak penjara memerlukan antara empat dengan lima minggu untuk menyediakan laporan perubatan terperinci, dan afidavit balasan terhadap hujah pembelaan hanya boleh diserahkan pada 17 April.
Pihak pembelaan gagal memenuhi batas waktu yang ditentukan mahkamah, antaranya kerana Tannos telah dimasukkan ke hospital akibat sakit dada pada 6 Mac.
Menurut Encik Bachoo Mohan, beliau sedang memohon ikat jamin untuk anak guamnya, dan jika permohonan itu ditolak, beliau akan memohon agar Tannos ditahan di hospital, dengan menekankan bahawa Tannos mempunyai masalah perubatan.
Kes ini ditangguhkan ke 19 Mac, dengan pendakwaan diminta memberi kemas kini mengenai garis masa balasan mereka kepada mahkamah.
Pada 13 Mac, Tannos memberitahu mahkamah dia tidak bersetuju diekstradisi ke Indonesia.
Perubahan telah dibuat pada Akta Ekstradisi pada April 2022 untuk membenarkan pelarian menyetujui ekstradisi mereka.
Pada 10 Mac, dalam satu sidang media mengenai perkara itu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, mengakui hak Tannos untuk membuat permohonan ikat jamin.
Encik Shanmugam berkata, walaupun pembicaraan ekstradisi berbeza bagi setiap kes, proses undang-undang boleh mengambil masa dua tahun atau lebih, bergantung kepada kesukaran dan jika ia dicabar pada setiap langkah.
Tannos dilaporkan telah berada dalam senarai pelarian Indonesia sejak 19 Oktober 2021 dan dipercayai telah tinggal di Singapura sejak 2017.
Perjanjian Extradisi antara pemerintah Singapura dengan Indonesia telah dikuatkuasakan pada Mac 2024.
Ia memberi kuasa ekstradisi bagi beberapa kesalahan, termasuk rasuah, pengubahan wang haram, dan boleh digunakan untuk jenayah yang berlaku sehingga 18 tahun lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg