Pemerintah Singapura komited sepenuhnya untuk memerangi jenayah dan memainkan peranannya dalam kes ekstradisi warga Indonesia, Paulus Tannos, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.
Beliau menambah bahawa Singapura sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia dan akan melakukan semua usaha yang termampu di bawah undang-undang untuk memudahkan permintaan ekstradisi pertama oleh Indonesia untuk Tannos, atau juga dikenali sebagai Tjhin Thian Po.
Menyatakan demikian kepada wartawan tempatan dalam satu sidang media pada 10 Mac di Pusat Akhbar Nasional di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Shanmugam berkata kes tersebut adalah permintaan ekstradisi pertama oleh Indonesia sejak perjanjian antara pemerintah Singapura dengan Indonesia untuk Akta Extradisi (ET) dikuatkuasakan pada Mac 2024.
Tannos dikehendaki oleh Indonesia atas kesalahan rasuah berkaitan projek kad pengenalan elektronik Indonesia, yang dikenali sebagai ‘projek e-KTP’, yang didakwa telah menyebabkan negara itu kerugian sekitar 2.3 trilion rupiah ($192 juta), menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada 10 Mac.
Encik Shanmugam berkata: “Jika Tannos tidak membantah ekstradisinya, dia boleh diserah balik dalam tempoh enam bulan, mungkin lebih cepat lagi.
“Namun dia telah memberitahu mahkamah bahawa dia tidak akan bersetuju dengan ekstradisi tersebut dan dia sebenarnya akan membantah ekstradisi itu.”
Proses itu boleh mengambil masa kurang dari enam bulan jika tidak dipertikaikan, namun kerana Tannos telah menyatakan bahawa dia akan mempertikaikan ekstradisi tersebut, proses itu boleh mengambil masa yang lebih lama.
“Tannos mempunyai pasukan peguam. Dia juga berhak memohon jaminan.
“Dia juga, sudah tentu, akan memohon masa untuk menyediakan kesnya. Jika mahkamah memerintahkan ekstradisi, dia berhak untuk membuat rayuan,” ujar Encik Shanmugam.
Tannos merupakan presiden dan pengarah Shandipala Arthaputra, syarikat teknologi yang mendapat kontrak untuk menghasilkan sebahagian daripada kad pengenalan elektronik tersebut.
Ia dilaporkan bahawa Tannos telah berada dalam senarai buruan Indonesia sejak 19 Oktober 2021 dan dipercayai tinggal di Singapura sejak 2017.
Urutan peristiwa bermula pada 19 Disember 2024, apabila Singapura menerima permintaan daripada Indonesia untuk menangkap Tannos buat sementara waktu.
Berikutan semakan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) mengikut permintaan dan keperluan undang-undang, CPIB membuat permohonan kepada mahkamah Singapura pada 17 Januari 2025 untuk waran tangkap ke atas Tannos.
“Mahkamah membenarkan perintah itu dan Tannos segera ditangkap pada hari yang sama (17 Januari).
“Setelah ditangkap, Tannos telah ditahan reman tanpa jaminan, sementara menunggu permintaan rasmi untuk ekstradisinya,” kata MinLaw.
Pemerintah Singapura menerima permintaan rasmi daripada Indonesia pada 24 Februari 2025 untuk mengekstradisi Tannos dan AGC, sebagai pihak berkuasa pusat Singapura bagi permohonan ekstradisi, telah memulakan semakan terhadap permohonan tersebut serta dokumen yang disertakan.
MinLaw turut menjelaskan bahawa masa proses ekstradisi adalah berbeza bergantung pada kes dan berdasarkan fakta serta kes masing-masing.
“Pemerintah Singapura akan berusaha untuk mempercepatkan proses itu secepat mungkin,” kata MinLaw.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg