Lebih 150 peniaga Singapura dan Malaysia termasuk usahawan selebriti ‘terkandas’ dan tidak tentu arah setelah pesta dagangan Trifecta Fest yang sepatutnya diadakan di Singapore Expo dari 12 hingga 14 Julai dibatalkan pada saat-saat akhir.
Menurut beberapa peniaga ditemui Berita Minggu (BM), pesta yang dianjurkan buat kali pertama oleh syarikat Enigma Collective difahamkan tidak dapat diteruskan kerana isu kewangan dan pelesenan.
Dalam video tular di media sosial, sebahagian peniaga ini dilihat berkumpul di Singapore Expo untuk meluahkan kemarahan serta keprihatinan mengenai bayaran penuh serta deposit yang telah diserahkan di samping barang-barang yang telah dibawa masuk ke Singapura pada lewat petang 12 Julai.
Susuli kejadian itu, rakan kerjasama pemasaran acara tersebut yang dikenali sebagai Tauke Mango Bossku atau Encik Mohamad Hussin Said berjaya mendapat bantuan daripada Istana Ballroom di Marine Parade untuk menempatkan 20 peniaga yang menjual barangan fesyen serta makanan dibungkus selama dua hari, dari 13 Julai hingga 14 Julai, dengan harapan perniagaan dapat diteruskan.
Menyangkal dakwaan beliau penganjur bersama, Encik Hussin berkata beliau sekadar bekerjasama dari segi pemasaran acara itu setelah dihampiri pengacara Roslan Shah yang berperanan membawa masuk selebriti Malaysia.
“Saya tampil sebagai kontraktor untuk mereka (Enigma Collective) di mana saya membantu menyediakan perkhidmatan pemasaran untuk mereka di media sosial dan melakukan promosi secara langsung pada hari acara diadakan.
“Sebagai ganti, saya diberi dua gerai makanan dan minuman serta sebuah gerai runcit,” jelas beliau yang sudah pun merakam tiga video untuk mempromosikan Enigma Collective sebelum hari acara.
Walaupun “firasatnya memberitahu ada yang tidak kena”, namun Encik Hussin tetap “bersangka baik, berfikiran positif dan tawakal” kerana penganjur baru sahaja berjinak-jinak dalam bidang tersebut.
Perunding Istana Ballroom, Encik Osman Ariffin berkata bahawa beliau bersama pihak pengurusan Istana tampil untuk berbincang dengan pihak Mango Bossku serta beberapa teman.
Mereka bersama-sama menggembleng tenaga pada pagi 13 Julai.
“Kita pun peniaga, kita letakkan diri kita dalam tempat mereka – peniaga-peniaga yang berhasrat untuk ikut pesta dagangan ini terutama mereka dari seberang.
“Jadi, kami setuju untuk menawarkan tempat ini sebagai lokasi baru namun, tidak terbuka untuk semua peniaga kerana di sini, tidak dibenarkan untuk memasak. Kami mendaftar sebagai dewan acara, jadi harus hormat urus niaga.”
Dengan bantuan yang dihulurkan, Encik Osman berharap ia dapat menggalakkan peniaga yang semuanya masih muda agar kekalkan semangat ntuk terus berniaga.
Pesta dagang Trifecta Fest sepatutnya berlangsung pada 12 Julai. Namun, pada 10 Julai, wakil Enigma Collective telah menghubungi Encik Hussin dan menyatakan bahawa mereka sedang menghadapi masalah kekurangan kewangan sebanyak $50,000 dan harus membatalkan acara tersebut.
Dalam video tular yang dilihat BM, seorang wanita yang didakwa merupakan penganjur dari Enigma Collective, ditangkap polis. Namun, polis mengesahkan penangkapan itu tidak ada kaitan dengan acara yang dibatalkan.
Dalam kenyataannya kepada BM, polis berkata mereka menerima panggilan bantuan di 1 Expo Drive pada kira-kira 7.30 malam pada 12 Julai.
Setelah menemubual pihak terbabit, polis mengesahkan bahawa seorang wanita berusia 32 tahun mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah atas dakwaan kesalahan awal, lantas diberkas. Siasatan polis sedang dijalankan.
Dalam video Tiktok yang dimuat naik Enigma Collective, mereka telah memaklumkan bahawa Trifecta Fest hanya dibatalkan setakat 6 petang pada 12 Julai.
BM cuba menghubungi pihak penganjur tetapi panggilan tidak dijawab.
Pengacara Roslan Shah akur ada artis yang kecewa dan ada yang patah balik setengah jalan kerana sudah tahu tentang kekecohan di Singapore Expo.
“Benda ini tak diduga, kasihan mereka. Barang-barang sudah diambil, sudah dipesan tetapi mereka patah balik dari Singapura ke Malaysia,” jelasnya.
Menceritakan tentang keadaan yang huru-hara, pemilik Yummy Takoyaki, Cik Suryanie Ismail, 43 tahun, berkata beliau terpaksa batalkan penghantaran logistik seperti bahan makanan pada saat-saat terakhir.
Mengalami kerugian, beliau berkata:
“Kami sudah buat separuh bayaran, saya sepatutnya membuat bayaran seterusnya pada pagi itu (acara), sekali orang yang hantar ais beritahu saya yang beliau tak dapat masuk Expo kerana ada papan tanda yang menunjukkan acara tersebut dibatalkan.
“Lagi 10 minit sebelum saya nak pindahkan bayaran penuh, jadi alhamdulillah.”
Beliau menambah bahawa tiada berita daripada pihak penganjur sejauh ini berkenaan status bayaran yang telah dibuat mereka.
Penyanyi dan usahawan Malaysia, Fazli Zainal, 47 tahun, yang juga terjejas berkata beliau sudah beberapa kali berniaga di Singapura tetapi inilah kali pertama berdepan dengan masalah sebegitu.
“Terkejut juga ada orang berani buat perkara macam gini. Yang kasihannya ialah peniaga terutamanya peniaga makanan basah yang sudah beli bahan mentah. Mungkin kerugian ia perlu dibuang,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg