Peningkatan dalam jangkitan Covid-19 di Singapura sedang dipantau oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), meskipun tiada petunjuk bahawa varian yang merebak secara tempatan lebih mudah tular atau menyebabkan gejala yang lebih serius berbanding varian sebelumnya.
Anggaran jumlah kes Covid-19 pada minggu 27 April hingga 3 Mei telah meningkat kepada 14,200 kes jangkitan, berbanding 11,100 kes jangkitan pada minggu 20 hingga 26 April.
Dalam tempoh yang sama, purata kemasukan ke hospital akibat Covid-19 sehari telah meningkat daripada 102 kes kepada 133 kes.
Namun, purata kes bagi Unit Rawatan Rapi (ICU) sehari merosot daripada tiga kepada dua kes, menurut kenyataan bersama MOH-CDA pada 13 Mei.
“Pihak hospital mampu menguruskan peningkatan kes ketika ini.
“Seperti penyakit pernafasan endemik lain, gelombang Covid-19 berkala dijangka berlaku sepanjang tahun,” kata MOH-CDA yang menambah bahawa peningkatan kes mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk penurunan dalam imuniti penduduk.
Dua subvarian JN.1, LF.7 dan NB.1.8, ialah varian Covid-19 utama yang menular di Singapura, dan menyumbang lebih daripada dua pertiga daripada kes jangkitan tempatan.
Varian JN.1 juga merupakan varian yang digunakan dalam perumusan vaksin Covid-19 semasa.
MOH-CDA menasihati agar individu berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 yang serius, termasuk individu berusia 60 ke atas, supaya mengemas kini dos vaksinasi mereka.
Ia boleh dilakukan dengan menerima dos vaksin tambahan sekitar setahun selepas dos vaksin terakhir.
Selain itu, pekerja penjagaan kesihatan dan individu yang menetap atau bekerja dengan mereka yang terdedah dari segi perubatan juga digalakkan untuk mengambil vaksin.
Individu lain yang berumur enam bulan dan ke atas yang ingin mengambil vaksin Covid-19 boleh terus berbuat demikian, tambah MOH-CDA.
Vaksinasi boleh didapati di klinik SG Lebih Sihat dan poliklinik.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, juga telah mengesyorkan bahawa sistem penjagaan kesihatan Singapura mampu menangani peningkatan dalam kes Covid-19.
Beliau menyatakan demikian dalam satu catatan Facebook pada 13 Mei, sambil menggalakkan warga Singapura untuk menjaga kebersihan diri, mengurangkan interaksi sosial dan perjalanan yang tidak perlu apabila kurang sihat.
Encik Ong turut menggalak mereka yang tidak sihat untuk memakai pelitup di kawasan sesak, atau apabila menunjukkan simptom seperti selesema atau demam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg