Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peningkatan Rangka Kerja Pengiktirafan untuk Penterjemah Kita

Oct 23, 2023 | 5:30 AM
SOKONG PENINGKATAN: (dari kiri) Penerima Anugerah Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) Cik Chew Si Hui, Pengerusi Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC), Encik Tan Kiat How, Penerima Anugerah TTDS, Cik Nor Djannah Djohan dan Penerima Anugerah TTDS, Cik Lau Yun Xuan Averil.
SOKONG PENINGKATAN: (dari kiri) Penerima Anugerah Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan (TTDS) Cik Chew Si Hui, Pengerusi Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC), Encik Tan Kiat How, Penerima Anugerah TTDS, Cik Nor Djannah Djohan dan Penerima Anugerah TTDS, Cik Lau Yun Xuan Averil. - Foto MCI

Sesi penglibatan pertama secara fizikal sepenuhnya dengan Penterjemah Kita diadakan di Lifelong Learning Institute dengan lebih daripada 200 peserta pada 17 Oktober.

Sesi itu dihadiri Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Perhubungan dan Penerangan) dan Pengerusi Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) , Encik Tan Kiat How.

Terdapat juga sesi dialog melalui zoom bersama poliglot tempatan Encik Jonas Fine Tan, pelajar di Universiti Oxford yang berusia 23 tahun, yang boleh bertutur dalam 11 bahasa.

Semasa acara ini, Encik Tan, mengumumkan peningkatan Rangka Kerja Pengiktirafan untuk Penterjemah Kita yang akan berkuat kuasa mulai Januari 2024.

Penterjemah Kita merupakan para penterjemah yang membantu menyemak bahan-bahan yang diterjemahkan agensi-agensi pemerintah dan melaporkan sebarang kesilapan berkaitan penterjemahan.

Rangka Kerja Pengiktirafan akan diselaraskan kepada sistem berasaskan mata untuk mencerminkan tahap komitmen berbeza yang diperlukan untuk pelbagai aktiviti yang disertai oleh Penterjemah Kita.

Dengan sistem yang baru, lebih ramai Penterjemah Kita akan layak untuk Peringkat Asas dan mencapai Tahap ‘Enhanced’ untuk mendapat manfaat daripada peluang latihan terjemahan yang dipilih.

“Penterjemah Kita Peringkat Asas juga akan menerima e-baucar untuk penyertaan mereka sebagai tanda penghargaan kami atas sumbangan mereka. Bagi Penterjemah Kita Peringkat ‘Enhanced’, Sekretariat akan menyediakan peluang latihan, seperti bengkel terjemahan dan proses pembelajaran.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan latihan kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada Penterjemah Kita untuk meningkatkan keupayaan terjemahan mereka, jadi berusahalah untuk mencapai Tahap ‘Enhanced’ , dan kongsi dengan kami aktiviti latihan yang anda ingin sertai,” kata Encik Tan semasa ucapan pembukaannya.

Skim Pembangunan Bakat Penterjemahan dilancarkan pada 2018 untuk menyokong pengamal penterjemahan dan tafsiran daripada sektor swasta dalam memperdalamkan kemahiran mereka.

Penerima anugerah akan menerima sebanyak $10,000 untuk mengimbangi 90 peratus daripada perbelanjaan yang ditanggung dalam penyertaan mereka dalam program pembangunan keupayaan yang berkaitan dengan terjemahan, tafsiran atau bahasa di Singapura dan luar negara.

Sehingga kini, terdapat 36 penerima anugerah di bawah skim ini, dan lebih $230,000 telah diagihkan untuk menyokong penyertaan mereka dalam program pembangunan kemahiran dan keupayaan mereka.

Pada 2023, terdapat lima penerima anugerah tersebut yang mengikuti program pembangunan keupayaan di Singapura atau di luar negara.

Selaras dengan semangat sesi itu, Encik Tan juga memberikan sebahagian daripada ucapannya dalam bahasa Melayu dan dalam bahasa Mandarin, menyedari dan menghargai usaha Penterjemah Kita setakat ini.

Bengkel penterjemahan bahan komunikasi awam daripada bahasa Inggeris ke bahasa Cina, Melayu dan Tamil, turut dikendalikan oleh pengamal penterjemahan yang berpengalaman semasa sesi tersebut.

Cik Khadijah Seron, 55 tahun, merupakan anggota Panel Rujukan Bahasa Melayu (Jawatankuasa Penterjemahan Nasional), mengendalikan bengkel penterjemahan Inggeris ke Melayu.

“Di Singapura kita memerlukan kemahiran terjemahan. Dalam masyarakat berbilang bahasa, saya rasa jikalau kita hanya tahu satu bahasa, kita akan rugi, kita tidak dapat bermesra dengan masyarakat lain,” kata beliau semasa ditemubual bersama Berita Harian.

Dalam bengkel tersebut, beliau membincangkan kepentingan terjemahan yang betul dan berkongsi dengan peserta tentang cabaran yang mereka hadapi semasa penterjemahan.

“Terdapat banyak perkataan baru dalam bidang teknologi, misal katanya ‘phishing’ ataupun ‘malware’. Kita mesti rajin menyelidik apa makna sesuatu perkataan atau konsep dan jangan terlalu ambil ringan dan anggap kita tahu makna perkataan tersebut,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan kepentingan menterjemah secara betul dan bukan menggunakan istilah-istilah Inggeris agar dapat mengekalkan keaslian bahasa Melayu. 

Peserta-peserta bengkel tersebut juga menjalankan aktiviti penterjemahan untuk mereka pelajari frasa terjemahan baru.

“Perkara yang saya pelajari daripada bengkel ini adalah untuk mengambil kira tentang perspektif yang berbeza semasa menterjemah,” kata seorang peserta bengkel dan merupakan seorang kakitangan awam yang tidak mahu mendedahkan namanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg