Kucing boleh menjadi haiwan peliharaan yang membawa keseronokan dan mendatangkan kepuasan jika dipelihara dengan baik, namun keperluannya sering disalah faham.

Sama ada anda merupakan pemilik kucing kali pertama atau sudah berpengalaman bertahun-tahun memelihara kucing, berikut adalah asas penjagaan kucing secara bertanggungjawab.

PELESENAN: DIWAJIBKAN MULAI 1 SEP

Di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing, pemilik kucing perlu memasang mikrocip dan memohon lesen untuk kucing peliharaan masing-masing menjelang 31 Ogos.

Mikrocip ialah cip bersaiz sebutir beras yang mengandungi nombor identiti unik dan dimasukkan di bawah kulit kucing anda.

Apabila dihubungkan dengan maklumat pemilik melalui pelesenan, ia membantu mempertemukan semula kucing yang hilang dengan pemiliknya.

PEMAKANAN: KUCING PERLUKAN DAGING

Berbeza dengan anjing atau manusia, kucing merupakan haiwan karnivor obligat. 

Ini bermakna tubuhnya direka untuk berfungsi dengan protein berasaskan daging.

Taurina, contohnya, ialah asid amino penting yang tidak boleh disintesis atau disimpan oleh kucing dan mesti diperoleh daripada protein berasaskan daging. 

Ia amat penting untuk kesihatan jantung dan mata kucing.

Cari diet lengkap dan seimbang yang sesuai mengikut peringkat umur kucing anda, kerana anak kucing, kucing dewasa dan kucing tua mempunyai keperluan pemakanan yang berbeza.

Selain itu, anda perlu memastikan air bersih dan segar sentiasa tersedia.

Banyak kucing lazimnya tertarik kepada air yang mengalir. 

Oleh itu, jika kucing anda enggan minum air dari mangkuk, air pancut untuk haiwan boleh membawa perbezaan nyata.

Penghidratan mencukupi amat penting untuk mengelakkan masalah saluran kencing, yang kerap berlaku dalam kalangan kucing.

KESIHATAN: MENCEGAH LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Vaksinasi melindungi kucing anda daripada penyakit serius.

Vaksin teras merangkumi perlindungan terhadap virus seperti felin herpesvirus, ‘calicivirus’ dan parvovirus – yang antaranya boleh menyebabkan masalah pernafasan, mata, mulut, dan saluran pencernaan.

Anak kucing sepatutnya menerima dos pertama pada usia enam hingga lapan minggu, diikuti dos penggalak atau ‘booster’ setiap dua hingga empat minggu sehingga berumur empat bulan, dan seterusnya satu dos penggalak selepas setahun.

Dapatkan nasihat doktor haiwan sama ada vaksin bukan teras sesuai untuk gaya hidup kucing anda.

Rawatan membuang cacing dan pencegahan parasit secara berkala juga sama penting – sama ada kucing anda dipelihara di dalam atau luar rumah.

Jika kucing anda sakit, bawanya berjumpa doktor haiwan dan jangan cuba merawat sendiri.

Jika kucing anda mendapat preskripsi antibiotik, pastikan ubat tersebut dihabiskan atau guna mengikut arahan doktor anda bagi mengurangkan isu ketahanan antimikrob (antimicrobial resistance).

Kucing yang dikembiri hidup lebih lama dan sihat. 

Pengembirian mencegah penyakit pembiakan yang serius seperti piometra, iaitu jangkitan uterus yang boleh mengancam nyawa.

Dari segi tingkah laku pula, kucing yang melalui pengembirian kurang cenderung untuk berkeliaran, mengiau dengan kuat, bergaduh dan menanda kawasan dengan air kencing.

Berdasarkan nasihat veterinar, kucing patut dikembiri bermula usia enam bulan atau lebih awal.

TINGKAH LAKU: FAHAMI KUCING ANDA

Kucing peliharaan merupakan binatang pemburu bersendirian yang mempunyai kawasan tersendiri – naluri ini serta sifat ingin tahu mereka masih kekal dalam diri mereka.

Memasang jaring pada tingkap dan pintu pagar mampu menyelamatkan nyawa kucing anda.

Sindrom jatuh dari tempat tinggi, iaitu apabila haiwan mengalami kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi, adalah perkara yang boleh dicegah sepenuhnya.

Ruang celah pada jaring atau gril perlu kurang daripada 5 sentimeter lebar.

Selain itu, mempelajari cara membaca bahasa tubuh kucing anda sangat membantu.

Kucing yang tenang akan menegakkan telinganya ke hadapan, melengkungkan ekornya ke atas dan mempunyai postur tubuh yang tenang.

Kucing yang ketakutan akan merendahkan badannya, menyimpan ekornya dan meleperkan telinganya ke tepi.

Kucing yang cuba mempertahankan diri pula akan membongkokkan belakangnya, mengembangkan bulunya dan mungkin berdesis.

Mengenal pasti bahasa tubuh ini membantu anda bertindak balas dengan wajar serta mengelakkan tekanan yang tidak perlu.

PENJAGAAN SEPANJANG HAYAT

Tanggungjawab memelihara kucing merupakan satu komitmen jangka panjang; purata jangka hayat kucing peliharaan boleh mencecah sehingga 20 tahun.

Asas untuk menjaga kucing dengan baik adalah mudah, ini termasuk memastikan kucing anda selamat, memberinya makanan sesuai, mendapatkan suntikan vaksin, membawanya ke klinik haiwan untuk dikembiri, dan mengambil masa untuk memahami keperluannya.

Berita Harian (BH) dengan kerjasama Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) telah menerbitkan ‘mini-series’ sebanyak empat episod bertajuk ‘Purr-Aturan’ Baru si Bulu, untuk dapatkan pautan video tersebut, imbas kod QR yang tertera.
Berita Harian (BH) dengan kerjasama Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) telah menerbitkan ‘mini-series’ sebanyak empat episod bertajuk ‘Purr-Aturan’ Baru si Bulu, untuk dapatkan pautan video tersebut, imbas kod QR yang tertera.

Untuk maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja Pengurusan Kucing dan keperluan pelesenan, layari laman web AVS di go.gov.sg/cat-licensing.

Artikel ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times (ST).